Bilik suntikan maut di mana banduan menjalani hukuman mati.

Hidup susah, mati pun susah’, kata Alias Congo dalam filem ‘Madu Tiga’ arahan P. Ramlee yang membariskan P Ramlee sendiri, Ahmad Nisfu, Zahrah Agus, Sarimah dan Jah Haji Mahadi.

Alias, yang melakonkan watak Apek, terjun dari pokok kerana kecewa, tetapi tidak jatuh ke tanah. Sebaliknya dia jatuh terduduk ke dalam kereta sport yang dipandu oleh P. Ramlee. Dia tidak mati. Kerana itu lahirlah ungkapan dialog seperti di atas.

CARL WAYNE BUNTION

Realiti inilah yang dihadapi oleh Carl Wayne Buntion, 77, seorang banduan dari Texas, Amerika, yang dijatuhi hukuman mati kerana membunuh seorang anggota polis pada Jun 1990 di Houston. Selepas lebih tiga dekad menunggu, hakim Mahkamah Houston memerintahkan hukuman dilaksanakan April ini.

Itulah hakikat penderitaan Buntion. Hidupnya menderita terpenjara berpuluh tahun, mata terlepas badan terkurung. Menunggu saat kematian juga sangat memeritkan. Hari demi menanti tarikh hukuman, namun tidak kunjung tiba sehinggalah April menjelma.

Memetik laporan Daily Star, sudah 32 tahun Buntion meringkuk dalam penjara menanti pelaksanaan hukuman. Dengan tempuh yang begitu panjang, dia menjadi banduan paling lama dipenjara sementara menunggu hukuman dilaksana.

Namun jenayah yang dilakukan oleh Buntion memang kejam. Kerana itu hukuman mati memang setimpal. Dia menambak mati seorang anggota polis, James Irby, 37, secara jarak dekat pada Jun 1990 di Houston, Texas.

Buntion, yang mempunyai rentetan rekod jenayah, ketika kejadian adalah penumpang dalam sebuah kereta apabila kereta itu diarah berhenti oleh polis pada satu sekatan.

James Irby, anggota polis yang ditembak mati oleh penjenayah Buntion.
Kredit Daily Star

Ketika pemandu kereta yang ditumpanginya dan Irby bercakap, Buntion keluar dari kereta dan tiba-tiba bertindak menembak Irby satu das di kepala dan dua das di belakang badan. Buntion ditangkap di tempat kejadian.

Sekali pun perbicaraan telah selesai berdekad lalu dan mahkamah telah membuat keputusan, hukuman mati yang dijatuhi ke atas Buntion belum dilaksana. Tidak dinyatakan kenapa pihak berkuasa Texas mengambil masa begitu lama untuk melakukannya.

Namun Peguam Daerah Harris County, Kim Ogg menegaskan, kini sudah tiba masanya Buntion menjalani hukuman atas jenayah tidak berperi kemanusiaan. Tarikh pelaksanaan hukuman ditetapkan pada 21 April depan.

Buntion dijangka menjalani hukuman mati melalui suntikan maut atau lethal injection. Melalui kaedah ini sejenis atau pelbagai jenis dadah disuntik ke badan banduan yang akan menyebakan dia pengsan serta menghentikan denyutan jantung, seterusnya menyebabkan kematian.

Dadah yang biasa digunakan antaranya barbiturate, paralytic dan potassium. Kombinasi dadah berbahaya ini bertujuan menyebabkan kematian segera dan dengan itu dapat mengurangkan derita sakit dirasai oleh banduan.

Suntikan maut digunakan di kebanyakan negeri di Amerika di mana hukuman mati dibenarkan. Selain itu, kaedah pelaksanaan hukuman mati yang biasa dijalankan di negara itu ialah kerusi elektrik dan gas beracun atau gas chamber.

Bagi keluarga James Irby, terutama isterinya, Maura Irby, pelaksanaan hukuman mati ke atas Buntion dianggap sesuatu yang menggembirakan. Perbuatan kejam Buntion sudah terbalas. Menurut Maura, ia merupakan penutup episod kejam pembunuhan suaminya.

– BebasNews

Leave a Reply