SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini telah menahan 25 individu bagi membantu siasatan berhubung kes pemalsuan penyata akaun bagi mendapatkan tender bernilai lebih RM60 juta.

Menurut sumber SPRM, 17 daripada mereka kini direman sejak kelmarin, untuk membantu siasatan terhadap kes mengemukakan penyata akaun bank milik sebuah syarikat yang mempunyai butiran palsu bagi memasuki tender pada 2018 dan 2019 itu.

Siasatan SPRM setakat ini mendapati nilai kontrak bagi kes tersebut dianggarkan lebih RM60 juta dan sehingga kini terdapat sebanyak 25 syarikat dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

“Jumlah syarikat itu tidak mustahil akan bertambah kerana SPRM kini giat mencari mereka yang mungkin turut terbabit dalam kes ini.

“Siasatan mendapati ada dalam kalangan pihak yang dicari itu sudah menukar alamat namun beberapa usaha sedang dijalankan bagi mengesan mereka,” katanya seperti yang dilaporkan media-media tempatan.

Selepas 15 individu direman antara tiga hingga lima hari semalam, hari ini dua lagi pemilik syarikat direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes sama.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Alor Setar, Eliana Ismail.

Daripada 25 individu ditahan sejak kelmarin, hanya 17 yang direman manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Penyata akaun bank syarikat yang mempunyai butiran palsu tersebut dipercayai dikemukakan kepada sebuah syarikat pembersihan bagi melayakkan syarikat-syarikat terlibat memasuki tender penswastaan pengumpulan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di wilayah utara.

Individu yang ditahan terdiri daripada pelbagai jawatan antaranya pemilik syarikat, pengurus, pengarah, kontraktor serta beberapa lagi yang bekerja sendiri,

Kesemua mereka berusia antara 31 hingga 77 tahun.

Dalam pada itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap memaklumkan, secara keseluruhannya terdapat 22 individu ditahan kelmarin manakala tiga yang lain ditangkap semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan banyak perkara memandangkan siasatan masih berjalan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – BebasNews

Leave a Reply