Shafariah (dua dari kanan)menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Bukit Lancong, Shah Alam.

SHAH ALAM – Syarikat pengeluar produk makanan dan kesihatan, HPA International menyampaikan sumbangan makanan, bantal dan cadar kepada mangsa di Kampung Bukit Lancong di sini.

Menurut Ketua Unit Kebajikannya, Shafariah Ibrahim, kesemua bantuan tersebut telah disampaikan pasca banjir besar baru-baru ini di seluruh negara.

“Bantuan yang kita sampaikan adalah produk-produk keluaran syarikat kita seperti beras organik, air galian, sardin dan lain-lain.

“Untuk program di sini kita menyampaikan 40 set sumbangan. Selepas ini kita akan menyampaikan sumbangan di Meru Klang,”katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan 99 Kebajikan Insan (Kesan), Muhd.Ali Zakariah.

Shafariah berkata, HPA International yang berpusat di Perlis bukan sahaja membantu mangsa banjir di negeri Selangor malahan hingga ke Pahang.

Katanya lagi, sumbangan sama akan disampaikan untuk mangsa banjir di Bentong dan Mentakab Pahang.

“HPA International amat prihatin dengan keadaan mangsa-mangsa banjir yang kehilangan segala harta benda. Kita berharap sumbangan ini dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung penduduk,”katanya.- BebasNews

Leave a Reply