Salah seorang mangsa banjir di Hulu Langat yang menerima bantuan LZS baru-baru ini. Foto FB Lembaga Zakat Selangor

SHAH ALAM – Sebanyak 30,875 permohonan bantuan fasa satu dan fasa dua melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) Peduli telah diluluskan setakat semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZS, Saipolyazan Md.Yusop berkata, sumbangan fasa satu diagih secara berperingkat sejak 28 Disember tahun lalu, dengan setiap keluarga menerima RM600 melibatkan belanja RM13.5 juta.

“Sebanyak 35,026 permohonan telah diterima secara dalam talian antara 23 hingga 30 Disember lalu untuk fasa satu.

“Untuk fasa satu, sebanyak 25,780 permohonan telah diluluskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Saipolyazan berkata, untuk fasa kedua, permohonan keseluruhan adalah sebanyak 16,640 dan 4,056 telah diluluskan.

Katanya lagi, bantuan tersebut diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa terjejas bencana bulan lalu.

“Permohonan fasa dua bantuan sama masih dibuka bermula 1 hingga 31 Januari ini bagi memberi peluang kepada mangsa yang tidak sempat berbuat demikian,” katanya.

Pihak LZA meninjau kawasan rumah penduduk yang rosak akibat banjir. Foto FB Lembaga Zakat Selangor

Saipolyazan berkata, permohonan boleh dibuat melalui pautan http://www.zakatselangor.com.my/lzspeduli manakala manual dikhususkan kepada warga emas tidak mahir teknologi.

“Bagaimanapun, kita amat menggalakkan saudara terdekat atau jiran membantu mereka yang tidak mahir teknologi membuat permohonan melalui portal LZS Peduli kerana ia lebih cepat dan mudah,” katanya.

Pada 20 Disember 2021, LZS mengumumkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

Sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan mangsa banjir selain RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas.- BebasNews

Leave a Reply