SHAH ALAM – Awal tahun baru 2022 negara diselubungi isu panas pemilikan jutaan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang belum kunjung padam hingga kini.

Ibarat kata belum habis api menjadi bara, disimbah minyak petrol hingga kembali marak.

Kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam sendiri, Nasir Baki tetap tidak memuaskan hati semua pihak.

Isu terus menjadi heboh apabila kenyataan Abu Zahar ditentang oleh enam ahli LPPR yang menegaskan kenyataan beliau bersifat pendapat peribadi semata-mata.

Enam ahli LPPR tersebut ialah Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Profesor Datuk Mohammad Agus Yusoff.

Kekhilafan pandangan kesemua ahli LPPPR tersebut, membangkitkan lebih banyak persoalan dan persepsi negatif tanpa ada jawapan yang pasti.

Susulan itu, Abu Zahar semalam memaklumkan dalam sidang media bahawa beliau bersedia untuk disiasat oleh mana-mana pihak atau organisasi pada bila-bila masa.

Abu Zahar menegaskan, beliau terkejut apabila kesemua enam ahli LPPR itu mengadakan mesyuarat antara mereka tanpa terlebih dahulu memaklumkan beliau dan telah mengeluarkan kenyataan media pada Sabtu lalu.

Ia kerana sebelum itu Abu Zahar telah mengatakan persetujuan untuk mengadakan perjumpaan tertutup ahli LPPR pada jam 10 pagi, 11 Januari 2022 di Akademi SPRM, Jalan Duta Kuala Lumpur.

Namun isu pokoknya adakah Azam wajar dihadapkan dengan isu konflik kepentingan pegangan saham sedangkan pihak LPPPR bercanggah pandangan antara mereka.

Bercakap kepada Sinar Harian semalam, Azam sendiri meminta semua pihak bersabar sehingga siasatan dilakukan oleh jawatankuasa tertentu.

Azam dalam wawancara bersama akhbar tersebut berkata, beliau bukanlah ahli politik dan tidak merayu kepada mana-mana parti politik untuk menyokongnya.

Ulas Azam lagi, sebagai pegawai tinggi kerajaan, beliau mempunyai banyak tugas untuk diselesaikan.

Ujarnya lagi, beliau tidak akan meletak jawatan dan berundur melainkan Yang Dipertuan Agong mengarahkan beliau berbuat demikian.

Tegasnya lagi, beliau menyerahkan kepada Ahli Lembaga Penasihat SPRM untuk tindakan lanjut terhadap dirinya.

Sewajarnya pada saat ini, semua pihak bersabar dan tidak terburu-buru membuat kesimpulan terhadap kes yang menenggelamkan isu banjir besar baru-baru ini.

Ibarat kata Azam dalam wawancara tersebut semalam, beliau bukanlah individu yang perlu terikut-ikut dengan rentak mana-mana pihak yang mempunyai agenda politik tertentu.

Justeru, semua pihak perlulah bersabar kerana kebenaran yang tertunda tetap menjadi kebenaran, walaupun sebenarnya pahit. – BebasNews

Leave a Reply