MELAKA UNITED

RAYUAN beberapa pemain Melaka United memohon pasukan itu menyelesaikan masalah tunggakan gaji selama tiga bulan membabitkan musim lalu semalam mendapat perhatian Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Baginda yang juga Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), menegur Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa) supaya segera menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan skuad Hang Tuah.

Tunku Mahkota Johor itu membuat teguran itu menerusi mesej yang dihantar kepada Presiden Musa, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Datuk, pasukan Melaka tidak bayar gaji pemain sudah tiga bulan. Tak bagus untuk imej integriti pasukan Melaka dan juga kebajikan pemain.

“Tolong selesaikan isu ini Datuk,” tulis Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam mesej berkenaan dengan tangkap layar perbualan itu turut dikongsikan beliau dalam laman media sosial miliknya.

Mesej berkenaan turut dibalas Sulaiman dengan mengatakan beliau akan berusaha menyelesaikan perkara itu sebaik mungkin.

Bagaimanapun ciapan TMJ dalam laman Twitter itu seakan sudah dipadam.

Semalam, beberapa pemain Melaka United dilaporkan memohon pasukan itu menyelesaikan masalah tunggakan gaji selama tiga bulan membabitkan musim lalu.

Ia bukan kali pertama skuad Hang Tuah dibelenggu masalah berkenaan dengan mereka pernah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada musim lalu atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan. – BebasNews

Leave a Reply