SHAH ALAM – Pasukan esport Universiti Teknologi MARA (UiTM),UiTM Vendetta yang mewakili Malaysia telah menjuarai Cyberathlete Collegiate Mobile Legends (CCML) edisi pertama yang berlangsung pada 8 hingga 9 Januari lalu.

UiTM Vendetta berjaya menewaskan Gunadarma dari Indonesia dengan kemenangan bersih 3-0.

Menurut kenyataan Pusat Sukan UiTM, kemenangan tersebut melayakkan pasukan UiTM Vendetta ke Grand Final yang dijadualkan berlangsung pada Disember tahun ini.

“Grand final tersebut menawarkan hadiah wang tunai terkumpul AS$250,000.00 (RM1.05 juta),”katanya hari ini.

UiTM Vendetta diwakili Muhammad Nabil Japri, Muhammad Badrun Ahmad Puad, Danish Haziq Azrul Yussaini, Akmal Hakim Mohd Hisham, Muhammad Zafri Che Moh Zulkifli dan Muhammad Zulhafiz Md Yusuf.

Jelasnya lagi, UiTM Vendetta berjaya membawa pulang wang tunai RM20,000 sebagai hadiah kemenangan CCML edisi pertama tersebut.

Sebelum ini, pasukan UiTM Vendetta juga cemerlang dalam kejohanan Varsity Esport Uni-League 2021 apabila menjadi Johan bagi acara Mobile Legend pada Disember lalu.  – BebasNews

Leave a Reply