KUALA LUMPUR, 13 Dis -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah perasmian Pusat Penyelidikan Dato' Panglima Kinta Eusoff di Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

BENCANA banjir yang melanda negara baru-baru ini sekali lagi dengan jelas menunjukkan bahayanya kesan yang dibawa oleh perubahan iklim.

Justeru, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menitahkan agar seluruh rakyat Malaysia perlu terus bekerjasama untuk melindungi dan mengurangkan kesan kerosakan yang dibawa oleh perubahan iklim, usaha yang amat penting bagi memelihara kemakmuran dan kelangsungan negara.

Baginda turut menekankan betapa pemuliharaan adalah unsur yang amat penting dalam pembangunan Malaysia, yang mewarisi sumber semula jadi yang tidak ternilai, termasuk hutan hujan dan kekayaan kepelbagaian biologi.

“Kesan aktiviti manusia terhadap hidupan liar, iklim, sungai, hutan, dan lautan kita adalah mendalam, begitu juga akibatnya kepada manusia. Langkah bagi memulihkan planet kita ini memerlukan usaha semua pihak, daripada kerajaan sehingga sektor swasta, dan juga orang ramai.

“Semasa memberikan respond yang baik dalam membantu mereka yang terjejas akibat bencana, kita juga perlu bertegas melangkah untuk memperbaharui usaha-usaha bagi menangani punca utama kejadian,” titah baginda dalam ucapan Diraja dalam satu majlis khas sempena ulang tahun ke-50 Tabung World Wide Fund For Nature (WWF) Malaysia hari ini, yang disampaikan baginda secara maya.

Menurut Baginda, Malaysia mempunyai tanggungjawab besar bagi melindungi perkara ini dengan berkesan dan rakyay Malaysia perlu bangkit untuk menghadapi cabaran ini untuk kepentingan negara dan dunia.

Sultan Nazrin bertitah komitmen teguh Malaysia terhadap pemuliharaan boleh dilihat dalam beberapa aspek dan ini termasuk Dasar Perhutanan Negara yang mewajibkan 50 peratus negara ini perlu kekal dengan liputan hutannya.

“Kita ada Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan yang menetapkan komitmen memperuntukkan 20 peratus daripada keluasan tanah kita sebagai kawasan perlindungan, dan kita juga komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. Bagaimanapun apa yang penting adalah semua ikrar dan rancangan ini dilaksanakan sepenuhnya dalam amalan kita.

“Pertubuhan-pertubuhan seperti WWF Malaysia akan terus berada di barisan hadapan dalam usaha ini, untuk 50 tahun akan datang lagi, malah selepas daripada tempoh itu, semasa kita menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya.

Sultan Nazrin bertitah bahawa WWF Malaysia memainkan peranan penting selama 50 tahun yang lepas dan telah membantu negara ini menghadapi cabaran alam sekitar seterusnya menjadi suara yang lantang dalam memperjuangkan pemuliharaan alam semula jadi di Malaysia, bersuara untuk melindunginya dan juga untuk memulihara kawasan yang telah hilang. — BebasNews

Leave a Reply