ABDUL HALIM KADER

JANGAN cepat bergembira atau ada pihak yang menyangka Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Abdul Halim Kader ‘hanya garang luaran tetapi dalam hatinya ada taman!’

Kebenaran kepada para pengadil berlesen Astaf dan empat pemain import Thailand dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2022, minggu lalu hanyalah bertujuan merancakkan kembali aktiviti sukan warisan Melayu itu yang tertunda sejak 2020 akibat Covid-19.

“Astaf sentiasa memberikan sokongan kuat dan dorongan padu kepada mana-mana pihak terhadap apa jua aktiviti yang melibatkan kepentingan ke arah memacu pembangunan sepak takraw di seluruh pelosok Asia.

“Kami komited mahu melihat suatu penganjuran pertandingan yang berteraskan undang-undang sepak takraw antarabangsa, penggunaan peralatan yang sah dan diiktiraf, kebajikan pemain dan pengadil serta pegawai pasukan,” kata Halim dalam satu siaran media, hari ini.

Astaf tegasnya, kebenaran kepada STL itu juga tiada kaitannya dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang telah disingkirkan daripada menjadi ahli gabungannya pada 20 Mei lalu gara-gara salah laku seorang mantan Presiden PSM, Februari lalu.

Sebaliknya Halim memberikan isyarat bahawa pihaknya hanya akan bekerjasama malah menerima sebuah badan induk sepak takraw Malaysia sebagai ahli kerabat Astaf dengan syarat pucuk pimpinannya memiliki nilai-nilai amanah, integriti, telus, akauntabiliti dan adil kepada semua ahli gabungannya.

“Astaf juga tidak akan sesekali menerima sesebuah badan induk sepak takraw Malaysia yang barisan pucuk pimpinannya kerap membawa masalah dengannya namun hak dan pembabitan mereka demi kemajuan sukan sepak takraw tidak akan sesekali dinafikan.

“Amat rasional sekiranya pemimpin persatuan sukan kebangsaan dipilih berdasarkan kebolehan dan ilmu pengetahuan yang bersesuaian misi persatuan berkenaan.

“Budayakan juga sikap belajar sepanjang hayat dalam kepemimpinan dan tadbir urus persatuan jika mahukannya dihormati dan berwibawa,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).


Astaf katanya, turut sentiasa memelihara hubungan baik dengan semua ahli gabungannya selain menggesa pemimpin-pemimpin sepak takraw Malaysia yang baharu, kembali menghormati dan memelihara keharmonian bersama dalam keluarga besar Astaf.

“Ketibaan tahun baharu 2022 mampu membawa permulaan yang lebih baik ke arah lembaran baharu sepak takraw Malaysia.

“Ayuh! Kita melangkah dan berkembang bersama dalam semangat jitu setiakawan dan jalinan persaudaraan sepak takraw di Asia malah melangkaui benua ini,” katanya.

Halim walau bagaimanapun tidak menjelaskan maksudnya itu sama ada menyokong penubuhan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia yang baharu dan dipelopori bekas Naib Presiden PSM, Datuk Markiman Kobiran atau mahu menerima semula PSM yang diketuai Pemangku Presidennya, Datuk Akramuddin Aziz. – BebasNews

Leave a Reply