PELBAGAI isu yang mengancam kemantapan sektor politik, kepimpinan dan pemerintahan negara sejak tahun 2018 dijangka terus mendominasi persekitaran keselamatan Malaysia pada tahun 2022.

Ini kerana keselamatan politik Malaysia jadi terumbang-ambing setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) ditewaskan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum 14 (PRU14) pada Mei 2018.

Ini juga disebabkan Kerajaan PH telah tumbang apabila Bersatu meninggalkan pakatan tersebut untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama BN dan PAS mulai Februari 2020.

Namun demikian, kerajaan PN yang menumpu sepenuhnya kepada usaha melindungi nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia akibat serangan Covid-19 pula
digugat oleh karenah parti pembangkang dan dikhianati oleh perilaku segelintir pembesar politik UMNO.

Lantas, kesungguhan kerajaan PN dalam memerangi Covid-19 dan ketika melaksanakan pelbagai program serta dasar berkaitan dengannya pun
didakyahkan oleh puak politik di atas sebagai gagal dan membebankan rakyat.

Ini menyebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai Perdana Menteri PN, dan digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi pembentukan kerajaan Keluarga Malaysia pada awal Ogos 2021.

Bagaimanapun, kerajaan Keluarga Malaysia terus mengekalkan struktur kerajaan PN, dan Muhyiddin yang disifatkan gagal, dilantik sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) “bagi mempercepat pemulihan ekonomi susulan pandemik COVID-19”.

Tetapi, pengurusan Covid-19, termasuk program vaksinasinya, yang kini menghasilkan pelbagai kejayaan, menunjukkan bahawa Muhyiddin dan kerajaan PN
tidak gagal dalam usaha tersebut.

Namun begitu, seluruh perkembangan politik di atas telah mendorong kemunculan beberapa buah parti politik baharu di Malaysia di era selepas pemerintahan BN.
Pada Jun 2018, muncul Parti Sedar Rakyat Sarawak atau Sedar. Ini disusuli oleh kelahiran Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau Putra, pimpinan Datuk Dr Ibrahim Ali, pada Ogos 2018.

Berikutnya, lahir Malaysian Advancement Party (MAP) pada Julai 2019; Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM) pada Ogos 2019; dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) pada akhir 2019.

Pada Ogos 2020 lahir pula Parti Pejuang Tanah Air atau Pejuang, pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Kemudiannya, muncul The Malaysian United Democratic Alliance atau Muda, pada September 2020.

Seterusnya, lahir Parti Aspirasi Sains Malaysia atau Sains, pada Jun 2021; dan parti berasaskan Islam, dikenali sebagai Parti Bahtera Sejahtera atau Bahtera, pada September 2021.

Pada awal Oktober 2021, lahir Parti Kuasa Rakyat pimpinan Kamaruzaman Yaakob, abang Ismail Sabri. Pada 27 Oktober 2021, muncul Parti Bangsa Malaysia (PBM) pimpinan seorang Ahli Parlimen daripada Sarawak.

Akhir sekali, pada 28 Disember 2021, timbul ura-ura Datuk Peter Anthony, seorang ADUN yang keluar daripada Parti Warisan, mahu menubuhkan sebuah parti politik baharu di Sabah.

Kemunculan parti politik baharu di atas menunjukkan kejatuhan kerajaan BN pada tahun 2018, dan keruntuhan kerajaan PH pada tahun 2020, menyebabkan politik Malaysia semakin berpecah belah.

Perpecahan ini membabitkan politik Peribumi di Sabah dan Sarawak, politik bangsa Melayu dan Muslim di Malaysia Semenanjung, politik keturunan India, dan juga politik golongan pengundi muda pelbagai keturunan.

Perkembangan di atas merencatkan usaha kerajaan memperbaiki kedudukan sektor keselamatan ekonomi, keselamatan insan dan keselamatan masyarakat akibat pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia mulai Disember 2019.

Ia juga menjejaskan usaha kerajaan untuk memulihkan sektor keselamatan alam sekitar Malaysia yang dilanda banjir besar dan luar biasa pada akhir Disember 2021.
Lebih serius lagi, kemunculan pelbagai parti politik baharu di atas juga membayangkan corak undi pelbagai sektor dalam PRU15, dan mencerminkan
bentuk kerajaan yang akan memerintah Malaysia selepas PRU15.

Hakikatnya, memang sistem demokrasi mengizinkan perbezaan dalam bersiasah, dan tiada siapa boleh menyekat kemunculan sebarang parti politik baharu di Malaysia.

Tetapi, kepelbagaian parti politik di atas juga wajar dihalusi dan dirincikan daripada segi kuasa politik Melayu, Muslim dan Peribumi di Malaysia, dan dari sudut kemantapan politik negara di era selepas PRU15.

Ini kerana keselamatan kuasa politik Melayu, Muslim dan Peribumi yang rapuh selepas PRU15, boleh mengancam seluruh sektor keselamatan Malaysia,
kelangsungan rakyatnya, dan kesejahteraan ekonominya.

Lantaran itu, usaha penyatuan politik Melayu, Muslim dan Peribumi Malaysia adalah kritikal dan diperlukan menjelang PRU15, khususnya jika pilihan raya ini dijangka diadakan pada bila-bila masa selepas Julai 2022.

Oleh itu, seluruh pembesar politik Melayu, Muslim dan Peribumi perlu ketepikan kepentingan politik peribadi masing-masing, dan perlu segera bertindak ke arah penyatuan sebelum PRU15.

Dalam konteks ini, pembesar politik Melayu, Muslim dan Peribumi yang telah tercemar jati dirinya, atau sudah tercalar integritinya, perlu berundur secara sukarela dan dengan segera.

Penyokong mereka pula perlu waras, tegas dan berani untuk mengeluarkan desakan serta kata dua terhadap kumpulan pembesar mereka, demi kebaikan
semua pihak, dan demi kesejahteraan negara.

Ini kerana PRU15 dijangka melibatkan pelbagai tuntutan yang rumit; libasan tsunami yang halus; dan matlamat politik yang besar dan luas implikasinya kepada kelangsungan kuasa politik Melayu, Muslim dan Peribumi di Malaysia yang majmuk.
Kesimpulannya, seluruh pembesar politik Melayu, Muslim dan Peribumi mesti insaf dan sedar terhadap segala kemungkinan di atas menerusi usaha penyatuan sebelum PRU15.

Keselamatan politik Melayu, Muslim dan Peribumi yang rapuh ketika ini mesti segera dipulih, diperkukuh dan diperkasa dengan sepenuh jiwa raga serta secara ikhlas dan jujur.

Ini bukanya satu pilihan. Tetapi, satu tuntutan yang mesti dilaksanakan oleh seluruh pembesar politik Melayu, Muslim dan Peribumi mutakhir ini.

Kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan hakisan, dan mungkin keruntuhan kuasa politik Melayu, Muslim dan Peribumi selaku bangsa teras dan
penduduk terbesar di Malaysia yang majmuk.

– BebasNews

Leave a Reply