PIALA FA dikembalikan pada musim 2022 Liga M mulai 6 Mac. - Foto MFL

PIALA FA yang terpaksa dibatalkan dua musim berturut-turut sejak 2020 akibat Covid-19, kembali dalam kalendar pertandingan Liga Malaysia 2022 namun mengalami pengurangan perlawanan termasuk peringkat suku akhir dan separuh akhir dijalankan tanpa timbal balik.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, juara pertandingan kalah singkir kebangsaan itu turut akan kembali meraih slot wakil kedua Malaysia ke Piala AFC 2023, bukan lagi juara Piala Malaysia seperti musim 2021.

STUART RAMALINGAM

Dalam ‘mengorbankan’ sedikit format asal itu dengan tempoh saingan yang lebih singkat, siapa pasukan tuan rumah pula akan ditentukan melalui undian, ujarnya.

Piala FA akan bermula dengan pusingan kelayakan play-off pada 6 Mac membabitkan hanya pasukan Liga M3, pusingan pertama 11 hingga 13 Mac, pusingan kedua 13-14 Mei, suku akhir 7-8 Julai, separuh akhir 23-24 Julai dan perlawanan akhir, 6 Ogos.

“Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah yang dijadualkan 26 Februari ini pula hanya satu perlawanan pembuka tirai musim tetapi bukan merupakan sebahagian jadual Liga Super 2022. Ini satu perubahan pertama.

“Juara Liga Super 2021, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC akan menentang juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC di Johor Bahru dalam perlawanan itu,” katanya dalam sesi taklimat Liga M 2022 kepada media secara dalam talian hari ini.

Liga Super juga katanya, tetap akan diteruskan seperti dijadualkan walaupun ketika Liga Juara AFC (ACL) dan Piala AFC 2022 berlangsung yang membabitkan JDT FC, Kedah Darul Aman FC dan KL City FC.

JDT FC, juara Liga Super 2021 akan membuka tirai musim 2022 sambil mempertahankan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah pada 26 Februari ini. – Foto JDT

“Disebabkan Covid-19 yang menuntut tempoh kuarantin bagi pasukan kebangsaan dan Bawah 23 Tahun negara mahupun kelab-kelab kita dalam ACL dan Piala AFC sekembalinya dari luar negara, Liga M turut akan direhatkan selama 28 hari.

“Liga M masih turut diteruskan dalam bulan puasa Ramadan (April) dengan empat perlawanan Liga Super dan tiga perlawanan Liga Perdana.

“Jadual yang dirangka MFL juga telah mengambil kira tempoh rehat perjalanan bagi pasukan-pasukan dari Sarawak dan Sabah dalam Liga Super dan Perdana iaitu Sabah FC, Sarawak United FC dan Kuching City FC,” katanya.

Menurut Stuart, tempoh tersebut juga membabitkan kekurangan penerbangan harian yang berlaku sekarang biarpun kosnya mengalami kenaikan dalam era pandemik dan norma baharu kehidupan ini.

KL City FC, juara Piala Malaysia 2021 bertandang ke Johor Bahru untuk memburu Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah sambil membuat penampilan sulung Piala AFC 2022. – Foto MFL

Liga Super katanya, bermula dari 4 Mac hingga 16 Julai bagi pusingan pertama dan bersambung pada 19 Julai hingga 17 September dalam pusingan kedua manakala Liga Perdana, 5 Mac- 28 Mei (pusingan pertama) dan 25 Jun-4 September (pusingan kedua).

Perkongsian stadium oleh dua atau lebih pasukan-pasukan Liga Super dan Perdana, turut dipertimbangkan dalam mengatur jadual seperti Stadium Petaling Jaya (Selangor FC dan PJ City FC) mahupun Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KL City FC, PDRM FC dan Projek FAM-MSN)

Lain-lain termasuk Stadium UiTM, Shah Alam (UiTM FC dan Selangor FC 2), Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu (Kelantan FC dan Kelantan United FC) dan Stadium Sarawak, Kuching (Sarawak United FC dan Kuching City FC).

“Piala Malaysia 2022 pula dikekalkan formatnya seperti musim 2021 (liga berkumpulan diikuti kalah singkir) yang mengandungi 61 perlawanan,” katanya.

Walau bagaimanapun Stuart tidak menolak kemungkinan pindaan jadual Liga M terpaksa dibuat sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada tahun ini selain situasi perkembangan semasa Covid-19 menurut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – BebasNews

Leave a Reply