Pak Din (kiri) dan penulis.
Oleh Shahbudin Embun

TIDAK kira anda daripada parti politik mana atau mungkin tidak bersetuju dengan dasar perjuangan politiknya, tetapi bagi siapa yang mengenali Pak Din, pastinya berasa sedih dengan pemergiannya pada 12 Januari 2022.

Pak Din atau nama sebenarnya Saeden Wateh merupakan pejuang reformasi bertaraf Panglima Frontliner yang saya kenali dan dikenali di kalangan kita semua. Sejak bermulanya era reformasi sehingga beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, semangat yang mengalir di tubuhnya adalah semangat yang memperjuangkan apa yang beliau percaya dan tidak pernah sesaat pun beliau menderhakai perjuangan itu.

Saya telah lama mengenali arwah dan bagi saya beliau merupakan seorang “perfect gentleman“.

Walaupun arwah merupakan pengikut setia kepada kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun Pak Din sentiasa boleh meluangkan masa berkawan dengan sesiapa sahaja, tidak kira daripada parti mana dan sama-sama menghormati perjuangan masing masing. Allahyarham sendiri bercerita pada saya dia adalah ahli Pas zaman Ustaz Fadzil Noor dan bukan Pas sekarang dan dia juga bukan ahli PKR tapi dia adalah sahabat setia perjuangan Anwar Ibrahim iaitu sebagai Reformist tulen.

Itu sebabnya Pak Din tidak pernah dianggap sebagai seorang musuh oleh rakan-rakan yang menyokong parti lain. Bahkan kehadiran beliau semasa berborak atau mengeteh sesama kami telah memeriahkan lagi perbincangan antara kami semua. Pandangan beliau adalah praktikal dan beliau ialah seorang yang “membuat kerja” dan bukan hanya pandai bercakap sahaja. Beliau dihormati oleh musuh dan disayangi oleh kawan.

Apa yang menarik tentang perwatakan Pak Din ini ialah, dia tidak pernah mengharapkan sesuatu balasan apabila memberikan bantuan. Pak Din akan membantu seberapa yang terdaya dan memberikan tidak kurang dari 100% apabila menghulurkan bantuan.

Saya akan rindu akan senyumannya, akan kemunculannya yang selalunya secara tiba-tiba dan akan keikhlasannya sebagai seorang kawan.

Semoga roh Pak Din ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan semoga tenang dan aman di sana. Al Fatihah.

* Penulis adalah
Penganalisis Politik dan Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM)

— BebasNews

Leave a Reply