SHEBBY (kanan) bersama Rashid Hasan (cuba menangkap bola), tonggak Kuala Lumpur juara Piala Malaysia.

SELAKU pengulas pakar bola sepak sebuah stesen TV antarabagsa, analisis Serbegeth Singh kadangkala bernas tetapi mampu mencetuskan kontroversi kalangan penggiat bola sepak seperti pemain mahupun jurulatih.

Fasih dalam dwibahasa (Melayu dan Inggeris), Shebby (julukannya) lebih banyak mengulas dengan stesen ESPN Star Sports selain menjadi pengacara program kuiz Astro, ‘Juara Bertakhta’ dan ‘Malam Ini Shebby’ (bicarawara).

Beliau yang juga bekas bek tengah atau sweeper skuad negara meninggal dunia petang ini akibat serangan jantung ketika berbasikal di Kledang, Johor.

Shebby yang pernah membantu skuad negara mengakhiri kemarau pingat emas bola sepak selama sedekad dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 61 tahun.

Analisis tajam dan kritikal pernah diberikannya kepada penulis ekoran kejayaan Kuala Lumpur City FC mengakhiri kemarau kejuaraan Piala Malaysia selama 32 tahun pada 30 November lalu, selepas menumbangkan juara bertahan Jojor Darul Ta’zim (JDT) FC 2-0.
“Syabas kepada KL City FC kerana memenangi Piala Malaysia.

“Mereka bermain bola sepak mudah dan asas, bertahan beramai-ramai dan menyerang balas.

“Selepas 90 minit, mereka berhak menang. Tumbangnya JDT FC (Johor Darul Ta’zim) dalam babak kedua, mengejutkan selepas menguasai babak pertama.

“Kurangnya Pelan B oleh JDT bermakna pertukaran pemain hanyalah untuk membaiki kesilapan.

“Adil untuk mengatakan, pasukan yang lebih baik malam itu, telah menang,” katanya, sehari selepas perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.

Lebih dikenali sebagai Shebby, dia juga menganggotai pasukan kebangsaan selaku juara Pestabola Merdeka 1986 selepas menewaskan kelab Czechoslovakia, Sigma Olomuc 3-0 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Turut mewarnai koleksi kejayaannya ialah tiga pingat kejuaraan Piala Malaysia 1987, 1988 dan 1989 dengan Kuala Lumpur masing-masing setelah menundukkan Kedah 1-0, 3-0 dan 2-1.

Mendiang meninggalkan isteri, Datin Veronica Anne serta anak, Jason selain sepasang anak – Natassha Kaur dan Sonuljit Singh daripada perkahwinan terdahulu dengan bekas pelari pecut negara era 80-an, Harbans Kaur.

SERBEGETH Singh (kanan) bersama-sama Bojan Hodak di JDT dari 2014 hingga 2015.

Selain Kuala Lumpur dari 1986 hingga 1990, Serbegeth yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 20 Ogos 1960, turut pernah menyarung jersi Johor (1978-1983), Pahang (1991) dan Negeri Sembilan (1992) serta Kuala Lumpur semula (1993-1998).

Dia memperoleh 61 penampilan antarabangsa sejak mewakili pasukan Malaysia pada Piala Presiden Park, Korea Selatan pada 1982 dan mengakhirinya selepas kalah 4-2 kepada England pada perlawanan persahabatan 1991 di Stadium Merdeka.

Bekas Penasihat Teknikal JDT FC ini ketika dilatih Bojan Hodak, ketua jurulatih KL City sekarang juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Global kelab Liga Kejuaraan England, Blackburn Rovers pada 2012 hingga 2013.

Dia dikatakan menjadi peminat setia Tottenham Hotspur dan bekas pemain England, Glen Hoddle atau digelar ‘Magic’.

Shebby juga pernah menjadi penasihat rancangan malah pengurus pasukan realiti bola sepak TV, MyTeam juga dikendalikan Hodak yang menentang sebuah pasukan belia negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Leave a Reply