Jumali menunjukkan piring kayu untuk hidangan stik yang dihasilkannya di rumahnya.

KUALA LANGAT – Musibah banjir yang melanda daerah ini mungkin dianggap pembawa rezeki kepada seorang pengusaha produk berasaskan kayu apabila menerima kira-kira 120 unit piring kayu.

Menurut Jumali Sapar, 62, penghasilannya pula dihasilkan daripada jenis kayu akasia yang tumbang di hutan sekitar kampung ketika banjir menimpa daerah ini.

Katanya, kerja-kerja bagi menyiapkan satu unit piring kayu itu memakan masa selama sejam selepas proses pemotongan, mengetam dan menjemurnya beberapa hari sebelum itu.

“Banjir telah menyebabkan kawasan rumah saya ditenggelami air kira-kira 0.5 meter dan merosakan beberapa peralatan kerja pertukangan kayu.

“Alhamdulillah, rezeki saya apabila mendapat tempahan buat julung kalinya bagi piring kayu untuk hidangan stik daripada sebuah restoran di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Melati Kampung Kebun Baharu di sini.

Jumali menambah, sekeping piring kayu dijualnya pada harga RM40 berbanding harga di pasaran mencecah RM80 seunit.

Dia yang telah bergelumang dalam industri pertukangan sejak 30 tahun lalu memberitahu keunikan kayu akasia adalah disebabkan uratnya yang mampu menaikkan seri ketika hidangan berunsur barat itu kepada pelanggan.

“Wang yang diperolehi hasil jualan dapat digunakan bagi membeli peralatan yang telah rosak selain menampung kos hidup selepas banjir,” ujarnya.-BebasNews

Leave a Reply