SERBEGETH Singh (depan, dua dari kiri) manakala Mohamed Razip Ismail (depan, kanan) dalam skuad kebangsaan pada Sukan Asia Beijing 1990.

MOHAMED Razip Ismail tidak akan sesekali melupakan betapa berjasanya mendiang Serbegeth ‘Shebby’ Singh kerana dialah yang mula-mula menyarankannya menjadi pengulas pakar bola sepak Astro.

“Seingat saya, tahunnya 1997. Dialah yang mengajak dan memperkenalkan saya kepada pihak penerbit Astro di Bukit Jalil bagi satu program EPL (Liga Bola Sepak England,” kata Razip kepada BebasNews, hari ini.

Kedua-duanya menganggotai skuad pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan juara Pestabola Merdeka 1986 selain juara hatrik Piala Malaysia 1987, 1988 dan 1989 bersama Kuala Lumpur.

Shebby atau nama penuhnya, Serbegeth Sing Dher Singh meninggal dunia petang semalam pada usia 61 tahun akibat serangan jantung selepas sesak nafas ketika berbasikal di Iskandar Puteri, Johor.

Mendiang juga terkenal sebagai pengulas pakar bola sepak saluran ESPN Star Sports (berbahasa Inggeris) selepas bersara selain pernah menjadi pengacara program kuiz Astro, ‘Juara Bertakhta’ dan bicarawara ‘Malam Ini Shebby’.

“Saya yang tidak pernah ada pengalaman mengulas, terus berjinak-jinak dengan karier baharu itu,” kata anak jati Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang kini Ketua Unit Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dari situ juga Razip, 60, mendapat kepercayaan Astro Arena yang menggandingkannya dengan pengulas berpengalaman, Zainal Abidin Rawop dalam beberapa siaran langsung perlawanan Harimau Malaya.

Razip selaku bek kanan manakala Shebby mendukung peranan bek tengah dan sesekali sweeper ketika skuad negara menewaskan kelab Czechoslovakia, Sigma Olomuc 3-0 dan Singapura 3-1 untuk menjuarai Pestabola dan Sukan SEA di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

“Dia antara pemain barisan pertahanan terbaik Malaysia era 80-an. Sayang sekali lama betul saya tidak berjumpa dengannya.

“Kalau dalam pasukan Kuala Lumpur, Subadron Aziz (penyerang) yang sering duduk sebilik hotel penginapan dengan mendiang apabila kami bertandang bagi perlawanan tempat lawan. Tentu persahabatan mereka lebih rapat.

“Kami pun kebelakangan ini hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp dalam sebuah kumpulan bekas pemain bola sepak. Shebby antara yang aktif menghantar mesej,” kata Razip.

SHEBBY dan Subadron Aziz (belakang, tiga dan empat dari kanan) bersama-sama pasukan Kuala Lumpur juara Piala Malaysia 1987. – Foto DSU

Sementara itu, Subadron, 58, melahirkan rasa sedih dengan pemergian selama-lamanya Serbegeth namun agak terkilan kerana pernah menasihatkan bekas rakan sepasukan itu agar tidak terlalu ghairah melakukan aktiviti berbasikal.

“Dalam umur-umur 60-an ini, memang bahaya kalau berkayuh basikal apatah lagi dengan keadaan jalan yang macam mana yang kita pun tidak arif sangat. Saya pernah nasihatkannya begitu. Ada kemungkinan sebab teruja mengayuh, tiba-tiba jatuh pitam.

“Ada bezanya kalau peringkat usia kami ini bermain perlawanan bola sepak veteran. Kalau rasa penat pun, kita masih boleh berjalan sekejap. Kita masih boleh tahu dan menilai keadaan badan dan tenaga atau sejauh mana hendak bermain,” katanya.

Subadron merupakan penjaring gol pertama final Piala Malaysia 1989 yang menewaskan Kedah 2-1 ini apabila meluru menanduk masuk hantaran lintang Shebby dari sebelah kanan yang bermula daripada aturan Razip pada minit ke-23.- BebasNews

Leave a Reply