Zulkeflee Mohammad Nor, Ketua Pegawai Eksekutif Shoraka Global Resources (kiri) dan Mohamad Suparadi Md Noor menunjukkan dokumen perjanjian kerjasama antara Shoraka Global Resources dan Yayasan Hijrah Selangor. Turut hadir (belakang dari kiri) Abd Mutalib Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Shoraka Global Capital, Rodziah Ismail, Hafizuddin Mat Noh, Pengurus Kanan Pengurusan dan Pentadbiran, Yayasan Hijrah Selangor.

KUALA LUMPUR – Shoraka Digital Ventures (SDV) melalui salah sebuah syarikat start-up fintech miliknya, Shoraka Global Resources Sdn Bhd (SGR), telah menandatangani kerjasama strategik dengan Yayasan Hijrah Selangor untuk beralih kepada kemudahan penawaran kewangan patuh Syariah.

Kerjasama strategik itu akan membolehkan penerima kredit mikro yang kebanyakannya daripada golongan B40 (kurang berkemampuan), mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan Islam.

Majlis pemeterian perjanjian kedua-dua belah pihak disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail.

Pengarah Urusan SDV, Johar Amat dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas majlis itu berkata, kejayaan itu selaras dengan aspirasi SDV itu untuk memudahkan pengembangan penawaran kewangan Islam untuk semua masyarakat termasuk yang kurang berkemampuan.

Johar Amat

Johar percaya kerjasama antara Yayasan Hijrah Selangor ini adalah satu yang bermakna.

“Kami berhasrat memastikan mereka yang tidak boleh dapat menggunakan perkhidmatan kewangan Islam seperti golonggan yang mempunyai akses mudah kepada produk kewangan patuh Syariah.

“Dengan kerjasama ini, kami ingin menjadi fasilitator kepada Yayasan Hijrah Selangor untuk menyediakan produk dan penyelesaian patuh Syariah kepada penerima mereka,” kata beliau lagi.

“Saya meramalkan perkongsian yang berjaya antara kedua-dua pihak kami yang akan mempercepat pendigitalan penyelesaian teknologi kewangan Islam untuk rakyat Selangor dan berharap dapat bekerjasama lebih jauh dengan Hijrah Selangor dalam bidang teknologi,” kata Johar.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor, Pengarah Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor berkata, kerjasama kedua-dua pihak akan menumpukan perhatian pada
bidang-bidang yang mampu memanfaatkan kekuatan masing-masing.

Yayasan Hijrah Selangor merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk melebarkan
golongan kelas menengah di negeri Selangor melalui pendekatan pelaksanaan sistem
penyaluran modal tambahan yang efisien kepada peniaga-peniaga kecil.

Salah satu objektifnya ialah untuk memberikan pinjaman mikro kredit kepada usahawan kecil negeri Selangor bagi perlaksanaan program membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan mereka serta menambah modal.

Shoraka Group, syarikat induk SDV, ditubuhkan pada tahun 2006 diperbadankan di Dubai dan kemudiannya diperbadankan di Malaysia pada 2007 untuk beroperasi secara eksklusif di Asia Tenggara sebagai sebuah syarikat penasihat kewangan yang kini berkembang fi teknologi digital.

SDV menyediakan penyelesaian digital, perkhidmatan teknologi, ekuiti persendirian serta nasihat perniagaan dan Syariah. Di antara produknya ialah Shoraka Al-Amin yang dikendalikan oleh Shoraka Global Resources Sdn Bhd. – BebasNews

Leave a Reply