KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan bahawa sokongan kepada Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah sentiasa kekal malahan perlu terus dimantapkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, MKT telah memutuskan agar segala kesiapsiagaan dibuat bagi memastikan perjalanan parti berjalan dengan baik dalam membuat pelbagai program bagi menghadapi pengundi 18 tahun dan pengundi baharu yang jumlahnya sekitar 5.8 juta orang.

“MKT yang bermesyuarat dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam, turut membuat beberapa ketetapan penting bagi menghadapi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

“MKT UMNO memutuskan bahawa tarikh baharu PAU 2021 ialah pada 16 hingga 19 Mac depan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Maslan berkata, PAU bermula pada 16 Mac dengan perasmian Perhimpunan Agung Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya lagi, pada 17 Mac Perhimpunan Agung Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO berlangsung.

“18 Mac Ucapan Dasar Presiden dan Perasmian Perhimpunan Agung UMNO oleh Presiden UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO bermula.

“19 Mac Perhimpunan Agung UMNO hari kedua. Kehadiran Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO kesemua 14 orang perwakilan setiap Bahagian akan dijemput untuk menghadiri PAU 2021 dan tidak diadakan perhimpunan secara hibrid,”katanya.

Jelasnya lagi, kesemua lima orang perwakilan bagi setiap sayap juga akan menghadiri Perhimpunan Agung masing-masing pada kali ini.

Walaupun demikian jelasnya lagi, prosedur operasi standard (SOP) tetap akan dipenuhi daripada segi penjarakan, pelitup muka, penggunaan Aplikasi Mysejahtera, sanitizer dan lain-lain.

Mengulas mengenai peristiwa banjir besar di beberapa kawasan di negara ini beliau berkata, banjir besar yang melanda pada Disember 2021 dan Januari 2022 tersebut merupakan sesuatu yang diluar jangkaan.

“Pelbagai bantuan banjir yang diberi oleh kerajaan adalah dialu-alukan. Mesyuarat MKT mengambil ingatan tentang pengurusan banjir yang perlu diperbaiki terutama di negeri Selangor.

“Sidang Dewan Rakyat khas pada 20 Januari depan juga diharapkan dapat mengumpulkan cadangan-cadangan bernas agar Malaysia menjadi negara yang terhindar daripada banjir-banjir besar pada masa akan datang,”katanya.- BebasNews

Leave a Reply