DEWAN RAKYAT PARLIMEN BRITAIN

KEBIASAANNYA kisah perisik dan risikan antarabangsa hanya dapat dilihat atau dibaca dalam novel-novel karangan John le Carré ataupun filem James Bond.

Akan tetapi pada ketika ini sepertimana yang berlaku dalam buku-buku dan filem tersebut, Britain digemparkan dengan amaran seorang perisik China telah membolosi dan bergerak aktif dalam Parlimen negara itu.

Amaran tersebut telah dikeluarkan oleh agensi perisikan negara berkenaan, MI5 dalam satu surat kepada Ahli Parlimen dan Speaker Dewan Rakyat, Sir Lindsay Hoyle.

Menurut MI5, perisik wanita yang dinamakan sebagai Christine Lee itu didakwa telah “melibatkan diri dan campur tangan politik bagi pihak Parti Komunis China serta terlibat dengan Ahli Parlimen”.

Dalam surat itu, MI5 telah “Mengeluarkan Makluman Gangguan Perkhidmatan Keselamatan dan berkata Christine telah “bertindak secara rahsia” dengan penyelarasan Jabatan Kerja Barisan Bersatu (UFWD) Parti Komunis China (PKC), serta “dinilai terlibat serta campur tangan dalam politik di Britain”.

Agensi keselamatan itu menyatakan bahawa mereka percaya cabang parti komunis “berusaha untuk campur tangan secara rahsia dalam politik UK secara mewujudkan hubungan dengan MP yang sudah kukuh dan bercita-cita tinggi merentasi spektrum politik.”

MI5 berkata, jabatan parti pemerintah China “berusaha untuk memupuk hubungan dengan tokoh berpengaruh bagi memastikan landskap politik UK sesuai dengan agenda PKC dan mencabar mereka yang menimbulkan kebimbangan mengenai aktiviti PKC, seperti hak asasi manusia.”

Christine juga dikatakan terlibat sebagai pemudah cara derma kewangan kepada parti politik; calon dan Ahli Parlimen dan individu yang ingin mendapatkan jawatan politik di negara itu, termasuk memudahkan derma kepada entiti politik bagi pihak warga asing, lapor MI5.

“Christine telah menyatakan secara terbuka bahawa aktivitinya adalah untuk mewakili komuniti Cina UK dan meningkatkan kepelbagaian hubungan. Bagaimanapun, aktiviti yang dinyatakan di atas telah dijalankan dalam penyelarasan rahsia dengan UFWD, dengan pembiayaan disediakan oleh warga asing yang berada di China dan Hong Kong.

“Dia mempunyai penglibatan yang meluas dengan individu di seluruh spektrum politik UK, termasuk melalui ‘All Party Parliamentary China Group’ (APPCG) yang kini dibubarkan di Britain, dan mungkin bercita-cita untuk menubuhkan APPCG selanjutnya untuk meneruskan agenda PKC,” kata amaran tersebut

Amaran itu mengingatkan bahawa sesiapa yang dihubungi oleh wanita itu harus “berhati-hati dengan sekutunya, China dan bertanggungjawab untuk memajukan agenda PKC dalam politik UK”.

Amaran yang dikeluarkan itu telah menybabkan Hoyle mengeluarkan peringatan kepada Ahli Parlimen bahawa mereka bertanggungjawab untuk mengesahkan sumber derma dan merekodkan semua wang yang diserahkan.

Antara Beli politik yang dikaitkan dengan perisik tersebut ialah Ahli Parlimen Parti Buruh, Barry Gardiner yang didakwa telah menerima sumbangan daripada wanita itu.

Dakwaan itu menyebabkan anak lelaki Gardiner yang merupakan pengurus diari Ahli Parlimen pembangkang itu meletak jawatan pada Khamis, beberapa jam sebelum perbincangan di Parlimen.

Gardiner berkata pejabatnya telah berhubung dengan MI5 selama bertahun-tahun susulan kebimbangan mengenai aktiviti Lee. Beliau berkata sumbangan terakhir daripadanya diterima pada Jun 2020. – Agensi

 

Leave a Reply