Oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

SHAH ALAM – Dakwaan salah laku terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dato’ Sri Azam Baki telah menimbulkan desakan supaya SPRM mempunyai standard etika, tadbir urus dan kebebasan yang tinggi sebagai sebuah badan dan agensi kerajaan yang berintegriti.

Desakan itu disuarakan gabungan Badan pemikir dan NGO yang menuntut agar langkah-langkah reformasi termasuk pembaharuan struktur SPRM dapat dijalankan dengan segera untuk mengelak terjejasnya kredibiliti kerajaan, institusi berkaitan dan komitmen kolektif terhadap tadbir urus dan integriti yang diharapkan.

Menurut Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Dr Badlishah Sham Baharin, cadangan penubuhan IACC dilihat sangat penting dalam meningkatkan kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kepercayaan orang ramai terhadap institusi penting tersebut.

“ IACC itu merupakan solusi terbaik untuk memperkasakan SPRM, setelah suruhanjaya itu terpalit dengan pelbagai isu sejak berapa tahun lalu. Bakal menjadi sebuah institusi yang bertindak menyemak dan mengimbangi kuasa SPRM, IACC juga akan membuat laporan terus kepada Parlimen.

“Solusi membabitkan penubuhan IACC ini terkait dengan enam tuntutan utama dibuat oleh Rasuah Busters bersama rakan gabungan semasa pelancaran tuntutan tersebut pada 11 September lalu yang mahukan satu reformasi Parlimen dilakukan.

“Memantapkan lagi kewibawaan IACC, setiap anggota yang terpilih untuk berada di dalam suruhanjaya itu akan ditentukan oleh satu jawatankuasa khas Parlimen,” katanya pada sidang media #RasuahBusters: Solusi Transformasi SPRM yang dibawakan secara langsung di semua platform #RasuahBusters dan Sinar Harian.

Selain Dr. Badlishah Sham, turut hadir Datu Hussamuddin Yaacub dan Nurhayati Nordin (#RasuahBusters) Tricia Yeoh (IDEAS), Dr Badlishah Sham Baharin (GBM), Cynthia Gabriel (C4), Dr. Muhammad Mohan (Transparency International Malaysia), Thomas Fann (BERSIH 2.0) dan Tharma Pillai (U18).

Dalam pada itu, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) percaya perkara itu sepatutnya menjadi sebahagian daripada pembaharuan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bercakap pada forum mengenai “Solusi Transformasi SPRM” anjuran Rasuah Busters, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, suruhanjaya itu akan menjadi sebuah institusi bebas dan tidak dipengaruhi oleh kuasa politik dan eksekutif.

“Sebagai sebahagian daripada reformasi SPRM, kami mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah untuk menyelia mana-mana agensi pencegahan rasuah di negara ini. IACC juga akan ditugaskan untuk melantik ketua agensi itu,” katanya.

Yeoh berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Rasuah akan bertanggungjawab mencalonkan dan memantau pesuruhjaya IACC, “selepas itu, Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan mengundi pesuruhjaya IACC melalui majoriti mudah”.

Beliau berkata, bawah cadangan itu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Semakan Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah akan menjadi kumpulan kerja di bawah IACC.

Pengarah C4, Cynthia Gabriel, bersetuju bahawa cadangan itu yang akan menjadikan SPRM lebih efektif.

“Persediaan, undang-undang dan peraturan semasa cacat. Tidak jelas siapa semak dan imbang untuk SPRM,” katanya.

“Masalahnya, nampaknya ada pengaruh eksekutif dan politik terhadap SPRM.”

Beliau berkata, kontroversi pemilikan saham yang menyelubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bukan satu-satunya kes membabitkan pegawai SPRM, sambil memetik kes seorang pegawai agensi itu yang dipercayai mencuri barang rampasan bernilai RM25 juta.

“Pembaharuan sistematik diperlukan untuk mengelakkan kes-kes sebegini daripada terus berlaku,” tambah beliau. – BebasNews

Leave a Reply