SAYA terpanggil untuk menjawab 1 fakta daripada 12 fakta yang perlu direnungi mengenai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang dikemukakan oleh Prof. Khoo Chye Li. https://bebasnews.my/2022/01/13/12-fakta-perlu-direnungi-mengenai-azam-baki/

Fakta tersebut ialah berkenaan seksyen 29A Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA). Menurut Prof. Khoo, seksyen 29A “jelas menyebut bahawa sesuatu akaun trading saham boleh dibenarkan kepada pemilik benefisial dan authorized nominee (individu lain yang dibenarkan). Dalam konteks Tan Sri Azam, beliau telah memberikan kebenaran kepada adik beliau Nasir Baki untuk menggunakan akaun trading ini.”

Hakikatnya, authorised nominee atau nominee diberi kuasa adalah suatu istilah undang-undang yang mempunyai takrifan undang-undang tersendiri. Seksyen 2 SICDA mentakrif nominee diberi kuasa sebagai sebagai orang yang diberi kuasa untuk bertindak sebagai nominee seperti yang dinyatakan dalam kaedah-kaedah depositori pusat.

Ia bukanlah sebarang individu lain yang dibenarkan seperti seorang adik kepada pemilik benefisial. Tetapi ia merujuk kepada, antara lainnya, pihak yang menjalankan aktiviti sah yang menyumbang kepada perniagaan broker saham.

Oleh sebab itu, tidak boleh difahamkan sesuatu istilah itu mengikut fahaman sendiri atau umum.

Hakikatnya juga, seksyen 29A adalah dimasukkan ke dalam SICDA pada tahun 1998 sebagai salah pindaan kepada SICDA dengan maksud atau tujuan seperti dijelaskan oleh Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad, ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1998 di Dewan Rakyat.

Antara ucapan Dr Mahathir dalam pembentangan RUU tersebut adalah seperti berikut:

“Saya mohon memperkenalkan pindaan-pindaan dalam Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 ini. Krisis ekonomi [1997] yang melanda negara telah menunjukkan pelbagai kelemahan dan kekurangan dalam industri sekuriti yang memerlukan langkah-langkah untuk mengatasinya bagi memulihkan kembali keyakinan terhadap pasaran modal di Malaysia. Antara kelemahan-kelemahan yang telah dikenal pasti adalah seperti berikut:

(i) …

(ii) …

(iii) …

(iv) Larangan bagi nominee memegang dan berniaga sekuriti – Fasal 13 bertujuan meminda seksyen 25 bagi memasukkan subseksyen baru (4), (5) dan (6). Pada dasarnya semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemunya [atau pemilik] benefisial atau nominee diberi kuasa (authorised nominee). Apabila akaun sekuriti tersebut dibuka sesuatu deklarasi perlu dibuat oleh orang yang membuka akaun itu kepada depositori pusat. Deklarasi palsu adalah satu kesalahan.

 

Fasal 14 memasukkan seksyen baru 25A yang memperuntukkan bahawa apabila nominee diberi kuasa (authorised nominee) membuka akaun sekuriti mereka adalah dikehendaki memegang sekuriti-sekuriti telah dideposit bagi satu pemunya benefisial berkenaan dengan setiap akaun sekuriti yang dibuka. Fasal 17 bertujuan memasukkan seksyen baru 29A yang memperuntukkan bahawa semua dagangan berkenaan dengan sekuriti telah deposit hanya boleh dijalankan oleh pemunya benefisial sekuriti-sekuriti telah deposit (deposited securities) atau nominee diberi kuasa.

 

Seksyen 29A SICDA jelas memperuntukkan bahawa semua dagangan berkenaan dengan sekuriti telah deposit hanya boleh dijalankan oleh pemunya benefisial sekuriti-sekuriti telah deposit atau nominee diberi kuasa. Nomine diberi kuasa adalah seperti ditakrifkan di atas.

 

Dalam kata lain, pemunya benefisial adalah dilarang membenarkan individu lain selain nominee diberi kuasa menggunakan akaun dagangannya untuk dagangan berkenaan dengan sekuriti telah deposit, atau dalam kata mudah berjual beli saham.

 

Kesalahan di bawah SICDA adalah suatu kesalahan serius (seizable offence) yang boleh dibawa ke muka pengadilan atau mahkamah melalui suatu pertuduhan (charge). Ini seperti berlaku dalam kes Daniel Yong Chen-I v Public Prosecutor [2020] 9 MLJ 246. Dalam kes ini, satu pertuduhan telah dikenakan terhadap seorang pemunya benefisial kerana telah membenarkan isterinya untuk menggunakan akaun dagangannya dalam Sistem Depositori Pusat (CDS) untuk membeli satu juta unit saham sebuah syarikat dan oleh itu pemunya benefisial tersebut telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 29A SICDA.

 

Pada hari yang sama si suami dikenakan pertuduhan, si isteri telah dikenakan empat pertuduhan atas kesalahan di bawah seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Empat pertuduhan terhadap si isteri adalah berkaitan beliannya, dalam empat kelompok, saham syarikat berkenaan dalam tempoh tujuh hari (berjumlah satu juta saham kesemuanya) sementara mempunyai maklumat dalaman mengenai cadangan pengambilalihan syarikat berkenaan oleh syarikat lain.

Semua ini adalah demi memastikan integriti dan ketelusan dalam urusniaga sekuriti di pasaran saham negara dan membanteras urusniaga saham-saham Malaysia di Bursa Saham yang tidak diiktiraf.

Akhirnya, hakikat bahawa Tan Sri Azam Baki telah memberikan kebenaran kepada adik beliau Nasir Baki untuk menggunakan akaun dagangannya telah menimbulkan syak wasangka yang munasabah (reasonable suspicion) bagi satu siasatan atas kesalahan di bawah seksyen 29A SICDA.

Suruhanjaya Sekuriti sudahpun memulakan proses tersebut. Biarlah pihak berwenang ini melengkapkan siasatannya.

Usah diulas-ulaskan lagi isu saham berkaitan Tan Sri Azam Baki.

– BebasNews

Leave a Reply