Antara barangan yang disumbang oleh Yayasan Metamorphosis kepada Azman dan As.

PELBAGAI pihak termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan individu dan perseorangan terus mencurah bakti menghulurkan bantuan untuk meringankan beban ditanggung mangsa banjir akibat bencana alam yang menimpa sekitar Selangor dan Pahang, baru-baru ini.

Ini termasuklah Yayasan Metamorphosis bersama pasukannya dalam menjalankan Misi Jiwa Prihatin bagi membantu mangsa banjir.

Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Aliff Zain berkata, beliau dan pasukannya agak terlewat menghantar bantuan disebabkan menjalani tempoh kuarantin berikutan menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

“Habis sahaja tempoh kuarantin, saya terus mempersiapkan pasukan untuk turun padang bagi menghulurkan bantuan. Dari segi dana, Yayasan Metamorphosis tidak kutip mana-mana sumbangan, ini hasil pendapatan perniagaan yang disalurkan kepada yayasan ini.

“Kami melawat bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin di Banting, Selangor, kemudiannya ke rumah penyanyi Ezad Lazim di Kota Warisan, Sepang.

“Seterusnya, kami menjengah bekas pemain bola sepak negara, Azman Adnan dan isterinya, As Feminin, penyanyi otai, Yantzen dan pemain bes kumpulan Damasutra, Amran di sekitar Hulu Langat. Sepatutnya, kami singgah ke rumah pelawak, Ebby Yus di Hulu Langat, tetapi saya dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital.

Yantzen turut mendapat bantuan daripada Yayasan Metamorphosis.

“Misi Jiwa Prihatin ini turut menghulurkan bantuan kepada individu lain yang menjadi mangsa banjir, bukan hanya golongan selebriti,” katanya.

Aliff yang juga usahawan dari Pulau Pinang berkata, secara kasar, Yayasan Metamorphosis memperuntukkan antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi Misi Jiwa Prihatin di seluruh Malaysia.

“Bukan hanya menyediakan sumbangan berbentuk wang ringgit, malah, pelbagai barangan elektrik seperti mesin basuh, peti ais dan katil. Ini termasuk juga keperluan asas seperti pinggan mangkuk, dapur dan sebagainya.

“Misi Jiwa Prihatin bermula ketika banjir besar di seluruh Malaysia pada 2014. Saya sendiri turun padang dan sedih melihat situasi yang dialami mangsa banjir. Saya lihat mereka perlu memulakan kehidupan baharu, ada yang sehelai sepinggang, tak kira kaya atau miskin.

“Jadi, dari situ, kami meneruskan Misi Jiwa Prihatin tahun demi tahun. Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia menghulurkan sumbangan membantu mangsa banjir bukan hanya kejadian tahun ini, tetapi juga pada masa akan datang,” katanya.

Aliff berkata, beliau juga mengalu-alukan sukarelawan yang menyertai Yayasan Metamorphosis, mereka boleh menghubungi kami menerusi Facebook Yayasan Metamorphosis.

“Dan, hari ini Yayasan Metamorphosis bekerjasama dengan rider penghantar makanan. Bukan sahaja bangsa Melayu, malah Cina dan India turut berganding bahu membantu mangsa banjir,” katanya.

Aliff Zain (tengah) bertanya khabar dengan Azman Adnan, suami kepada As Feminin.

Sementara itu, anggota kumpulan Feminin, As berbesar hati apabila pasukan Yayasan Metamorphosis yang diketuai Aliff Zain datang menghulurkan bantuan.

“Terima kasih, semoga Allah membalas jasanya membantu mengurangkan bebanan saya sekeluarga. Saya tak boleh agak anggaran kerugian. Tetapi, apa yang boleh saya cakap kena bermula dari kosong semula. Bukan hanya semua barang elektrik rosak, malah, lantai pun pecah.

“Ia seperti membina rumah baharu. Satu rumah pula kena buat wiring semula. Memang saya amat terkesan, tetapi, saya nak ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sangat prihatin dan tidak berkira.

“Bila berlaku bencana ini, barulah saya nampak rakyat Malaysia sangat bersatu dan bermurah hati, tak kira apa bangsa dan agama. Saya memang respek pada masyarakat majmuk kita,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir yang sempat disantuni Yayasan Metamorphosis ialah Ezad Lazim yang menetap di Kota Warisan, Sepang.

Ezad menunjukkan kerosakan yang dialami sewaktu banjir.

“Ini pengalaman kali pertama berdepan musibah banjir sejak pindah ke rumah sendiri di sini. Banyak barang koleksi peribadi musnah dan rosak. Saya memang suka simpan barang-barang yang ada nilai sentimental.

“Saya simpan koleksi CD (cakera padat) dan VCD (video cakera padat) original dari penyanyi yang saya minat. Saya kumpul dari zaman muda.

“Ini termasuklah koleksi gambar saya dengan bekas kumpulan dan alatan muzik seperti gitar. Ada antaranya saya simpan dan tidak pernah guna. Namun, agak sedih alatan muzik artifak arwah bapa tidak boleh diselamatkan,” ceritanya.

Ezad berkata, ini kategori koleksi barang-barang peribadi yang tak dapat diselamatkan itu adalah barang kesayangan tapi beliau reda.

“Apa yang penting, nyawa. Alhamdulillah, isteri dan anak-anak berada dengan saya ketika banjir, jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan sangat,” katanya syukur.
BebasNews

Leave a Reply