PENGARUH dan ketagihan permainan video boleh mendorong seseorang itu melakukan perkara yang di luar jangka sepertimana dadah.

Di Tuscon, Amerika Syarikat, pertengkaran berkaitan dengan permainan video telah mengakibatkan seorang remaja berusia 13 tahun membunuh ibu kandungnya.

Remaja itu sanggup menikam ibunya sembilan kali sehingga maut semasa bergaduh di sebuah rumah mereka sekitar pukul 9 malam waktu tempatan pada Selasa.

Remaja lelaki berkenaan, Isaiah Ainuu, 13, membuat pengakuan kepada polis menyerang Mary Ainuu, 60, dengan pemberat senaman pada bahagian kepala sebelum menikamnya.

Mary dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, kata polis dalam satu kenyataan memetik laporan agensi berita KGUN.

“Petugas kecemasan yang dikerah ke tempat kejadian memberitahu, suspek melarikan diri selepas menikam ibunya.

“Hasil siasatan mendapati, suspek bergaduh dengan ibunya sebelum menyerang mangsa. Tiada individu lain di tempat kejadian ketika itu,” kata kenyataan itu.

Menurut polis, suspek berkata telah berlaku pertengkaran dengan ibunya berhubung permainan video sebelum dia menyerang mangsa.

Polis kemudian berjaya mengesan suspek dan dia kini ditahan di Pusat Tahanan Juvana Daerah Pima sebelum didakwa di mahkamah kerana membunuh. – AGENSI

Leave a Reply