Kakitangan MBSA menunjukkan demonstrasi bagaimana 'tail lift' berfungsi mengangkat warga OKU yang menggunakan kerusi roda.

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan Khidmat Kenderaan Komuniti MBSA secara percuma kepada pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas di kawasan pentadbiran MBSA untuk mendapatkan rawatan di hospital dan pusat rawatan di 8 lokasi terpilih.

Lapan lokasi terpilih tersebut adalah Hospital Shah Alam, Klinik Kesihatan Seksyen 7 Shah Alam, Klinik Kesihatan Seksyen 19 Shah Alam, Klinik Kesihatan Bukit Kuda Klang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Besar Sungai Buloh Selangor, Klinik Kesihatan Sungai Buloh Selangor dan Pusat Perubatan Universiti Malaya Petaling Jaya (PPUM).

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, MBSA menyediakan tiga buah kenderaan komuniti untuk perkhidmatan tersebut.

” Dua buah kenderaan berupa van telah diubahsuai bersesuaian dengan keperluan golongan OKU dan satu unit kenderaan berupa Proton Exora untuk golongan warga emas.

“Penyediaan Kenderaan Komuniti MBSA tersebut merupakan tanggungjawab sosial dan keprihatinan pihak MBSA untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke pusat rawatan dan hospital yang ditetapkan berikutan keperluan penyediaan perkhidmatan pengangkutan kepada golongan OKU dan warga emas adalah terhad dan sukar untuk didapati.

“Kenderaan ini dilengkapi dan disesuaikan untuk kegunaan golongan OKU dan warga emas dengan kemudahan ‘tail lift’ yang boleh menampung seseorang yang berkerusi roda,”kata beliau dalam satu kenyataannya hari ini.

Shahrin berkata, kenderaan komuniti tersebut juga hanya boleh memuatkan dua orang penumpang dan seorang pemandu, ini kerana ruang bahagian kenderaan tersebut dikosongkan dan dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti tali pinggang bertujuan untuk memastikan kerusi roda tidak bergerak semasa kenderaan bergerak.

Katanya kenderaan komuniti akan beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.30 pagi hingga pukul 5.00 petang.

“Tempahan boleh dibuat seminggu sebelum penggunaan perkhidmatan ini dengan menghubungi Seksyen Kemasyarakatan, Jabatan Pembangunan Komuniti, MBSA di talian terus 035522 2732 atau 0355105133 sambungan 1381,”katanya. – BebasNews

Leave a Reply