SHEBBY berjabat tangan dengan tetamu kenamaan sebelum perlawanan Malaysia dalam Piala Presiden Park di Seoul, Korea Selatan. Sebelahnya, Ismail Ibrahim, Lim Teong Kim dan Dollah Salleh.

JASAD bekas pemain negara dan pengulas TV, mendiang Serbegeth Singh mendapat penghormatan terakhir daripada menteri Kabinet dan ramai legenda bola sepak di Dewan Penghormatan Shamshan Bhoomi Krematorium Sikh, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, semalam.

Memetik laporan saluran TV Astro Awani, mereka ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Para bekas rakan sepasukan negara yang turut meluangkan masa untuk berkongsi detik kedukaan ini ialah Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Subadron Aziz, Datuk Santokh Singh, Datuk K. Rajagobal dan S. Balachandran.

SERBEGETH Singh (dua dari kanan) diasak pemain England dalam perlawanan persahabatan skuad negara di Stadium Merdeka pada 1991. England menang 4-2. – Foto AFC

Upacara pemberian penghormatan bermula pukul 1 petang dan diakhiri dengan pembakaran jasad mendiang kira-kira tiga jam kemudian itu turut dihadiri ahli keluarga dan saudara maranya terutama sepasang anaknya, Natassha Kaur dan Sonuljit Singh.

Selain mereka ialah bekas isteri mendiang, Harbans Kaur yang juga bekas pelari pecut olahraga negara dalam era 80-an.

HARBANS Kaur (depan) yang juga bekas pemenang pingat perak dan gangsa 4×100 meter olahraga Sukan SEA Singapura 1983 dan Bangkok 1985.

“Sumber keluarga yang menguruskan upacara mendiang memberitahu, abu jasadnya akan dikutip pada Ahad ini seterusnya dibawa pulang ke bandar kelahiran mendiang, Kluang, Johor.

“Tujuannya adalah untuk disemadikan di sana bersama-sama mendiang datuk dan bapanya (Dher Singh) atas permintaan mendiang (ketika hayatnya),” lapor stesen TV itu lagi.

Jasad mendiang yang turut dikenali sebagai Shebby terdahulu dibawa dari Pusat Memorial Nirvana di Taman Nesa Skudai, Johor, pada 7.20 pagi ini.

Bekas bek tengah dan sweeper negara, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang ini meninggal dunia kira-kira 7.30 malam akibat serangan jantung ketika berbasikal di Iskandar Puteri, Johor, Rabu lalu.

Shebby menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 61 tahun.- BebasNews

Leave a Reply