KUALA LUMPUR – Pengurusan masjid perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mendapati wujudnya salah laku melibatkan mana-mana individu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, tidak wajar pengurusan sebuah masjid memandikan seorang remaja yang mencuri di masjid baru-baru ini.

“Perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun adalah adalah suatu perbuatan yang dilarang dalam Islam. Pesalah wajar dihakimi dengan seadil-adilnya.

“Namun, perbuatan orang ramai termasuk pengurusan masjid yang mengambil sebarang bentuk hukuman sendiri terhadap orang yang disyaki adalah amat tidak wajar. Perkara seumpama ini sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai termasuk pihak pengurusan masjid agar tidak terjebak dengan sentimen tertentu atau cuba mengambil tindakan sendirian sehingga boleh menyebabkan kezaliman kepada orang yang disyaki.

“Perbuatan merakam gambar orang yang disyaki bagi tujuan sebaran awam juga adalah merupakan suatu perkara yang amat tidak wajar.

“Masyarakat adalah diseru supaya sentiasa cakna terhadap anggota kejiranan dan sama-sama mengambil peranan dalam mencegah masalah sosial yang berlaku di sekeliling mengikut peranan masing-masing tanpa melampaui had.

“Semoga perkara ini menjadi pengajaran dan iktibar kepada kita semua dalam menyantuni masyarakat di sekeliling kita,” ujarnya. – BebasNews

Leave a Reply