KUALA LUMPUR – Orang ramai digesa tidak mengeluarkan sebarang komen yang boleh menjejaskan reputasi institusi kehakiman di negara ini berhubung isu seorang Ketua Hakim Syarie.

Menurut Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang, masyarakat perlu menyerahkan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa iaitu polis untuk menjalankan siasatan sewajarnya.

“Kami mengesa semua pihak bertenang, bersabar dan menyerahkan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa.

“Kita menyeru semua pihak dapat menilai berita, tuduhan atau tohmahan diterima atau didengar dengan secara baik dan berhikmah dengan pertimbangan menurut kehendak syariah di samping pertimbangan berakal serta sewajarnya.

“Ia seperti mana Kaedah Fiqhiah iaitu hukuman asal seseorang adalah terlepas diri daripada sebarang tanggungan iaitu tidak bersalah sehingga dibukti bersalah. Justeru, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan yang sewajarnya serta mengambil tindakan menurut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Musa berharap isu timbul itu tidak mematahkan semangat pegawai syariah di seluruh negara untuk memartabatkan Mahkamah Syariah.

“Teruskan bersama dalam hasrat, visi dan misi bagi menjayakan kecemerlangan institusi perundangan dan kehakiman syariah di negara ini,” katanya.

Pada 12 Januari lalu, seorang hakim kanan yang didakwa berbaring dalam keadaan berbogel di bilik tidur seorang wanita.

Hakim berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa memuat naik satu video memfitnah dirinya. – BebasNews

Leave a Reply