JURULATIH Korea Selatan bakal kendalikan Harimau Malaya? Tanda tanya itu bakal terjawab Jumaat ini. - Foto FAM

BUKAN sekadar seorang ketua jurulatih bahkan sekumpulan tenaga import dari Korea Selatan dikatakan bakal menguasai barisan kejurulatihan Harimau Malaya!

Justeru seperti tiada tempat untuk S. Balachandran dan Azmin Azram Aziz atau Martin Stano yang masing-masing sebelum ini sebagai penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol dan jurulatih kecergasan pasukan negara.

Sumber terdekat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberitahu, “warga Korea Selatan ini telah meletakkan syarat untuk membawa sekumpulan tiga orang penolongnya jika menerima tawaran melatih Harimau Malaya.

“Namanya masih belum boleh didedahkan, begitu juga angka gaji yang bakal diperolehnya,” kata sumber itu yang mahu namanya dirahsiakan kepada BebasNews.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin semalam berkata, beliau hanya akan menjawab persoalan mengenai Harimau Malaya sejak gagal dalam Piala AFF, bulan lalu pada Jumaat ini selepas mesyuarat khas pertama Jawatankuasa Eksekutif di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor.

HAMIDIN Mohd. Amin (tengah) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Jawatan ketua jurulatih negara kekosongan ekoran peletakan jawatan Tan Cheng Hoe pada 3 Januari lalu sejurus selepas skuad bimbingannya terkandas dalam Kumpulan B kejohanan ke-13 itu di Singapura.

Malaysia bakal mengikut jejak dua jiran dan lawan yang menewaskannya 3-0 dan 4-1 dalam saingan peringkat awal Piala AFF iaitu Vietnam dan Indonesia yang menggunakan khidmat Park Hang-seo dan Shin Tae-hyong dari Korea Selatan.

Namun kata sumber itu, “saya fikir bukan sebab mengikut trend Si Naga Emas dan Garuda tetapi berpunca daripada satu sesi lawatan ke Korea Selatan, seingat saya pada 2018.

“FAM mungkin tertarik dengan budaya kerja jurulatih yang dinaungi Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) dan peletakan jawatan Cheng Hoe secara kebetulan membuka ruang mereka untuk menjalin kerjasama dengan negara itu,” kata sumber itu.

Kali terakhir Harimau Malaya memiliki jurulatih asing ialah pada 2017 – Nelo Vingada dari Portugal namun dia hanya bertahan beberapa bulan selepas pasukan gagal menang dalam tujuh perlawanan.

Jika pengumuman FAM pada Jumaat ini mengesahkan pelantikan ketua jurulatih kebangsaan dari Korea Selatan, bermakna dia warga Asia pertama menyandangnya sejak Choo Seng Quee dari Singapura pada 1958.

Harimau Malaya masih memburu tiket pusingan akhir Piala Asia 2023 di China menerusi pusingan ketiga kelayakan pada 8, 11 dan 14 Jun ini.

Undian kumpulannya akan dijalankan secara dalam talian oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 24 Februari ini dengan FAM telah membida untuk menjadi tuan rumah berpusat satu daripada saingan yang membabitkan pasukan negara sahaja.

Kali terakhir Malaysia layak secara merit menerusi pusingan kelayakan ialah di Kuwait pada 1980 manakala secara automatik pada 2007 sebagai tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.- BebasNews

1 COMMENT

  1. Maaf cakap lah… Yg menyokong sesangat agar boss bolasepak malayisa x letak jwt tu mgk ada apa Apa lah kan……. Wallahuaklam. TETAPI DI NEGARA LAIN KULIT PUNGGUNG N KULIT MUKA YG BERJAWATAN SPT DIATU NIPIS….. n BERMARUAH TINGGI SESUAI DGN AJARAN ISLAM. Sebab Islam ajar jika anda rasa gagal baik bagi kat org lain jawatan tersebut sebab ANDA GAGAL GAGAL GAGAL… Sudahlah dah meluat sesungguh dgn bola Malaysia nih. Alih Alih nak senang KERJA… AMBIL BARUA NEGARA LAIN BAGI STATUS N MAIN KAT NEGARA MALAYSIA…. WALAUPUN USIA DAH LBH 30 THUN PEMAIN TU.. Apa pnya bang gang.

Leave a Reply