Irfan Haris tampil dengan single baharu, Milik.

BILA sebut nama Irfan Haris Othman, pasti peminat akan terus menyanyikan lagu Redha yang dikeluarkan pada 2016 dan merupakan runut bunyi untuk drama popular Suri Hati Mr. Pilot.

Peserta program Big Stage musim kedua itu juga tampil dengan single Patung pada 2020 dan kini Irfan Haris meneruskan perjuangan dalam bidang seni suara dengan lagu Milik.

Single terbitan Rocketfuel Entertainment yang berentak pop moden itu merupakan ciptaan Irfan bersama barisan komposer terkemuka tanah air seperti Mike Chan, Ajay Amai, Nick Ariff, Glow Rush, Nappie Hassan dan Kaler-J.

“Lagu ini berkisar tentang kisah percintaan dalam sebuah perhubungan yang asalnya merupakan hubungan di antara dua rakan baik yang kemudiannya ‘hati’ rakan baiknya itu menjadi miliknya, dan hubungan itu menjadi sangat istimewa buat lelaki tersebut.

“Kali ini saya membawakan genre pop moden yang tak pernah saya nyanyikan sebelum ini kerana inginkan kelainan dan mencuba sesuatu yang baharu, selain mencabar diri untuk keluar dari zon selesa.

“Lagu ini juga turut memaparkan sisi vokal yang lebih dewasa sesuai dengan usia saya sekarang,” kata penyanyi yang bakal menginjak usia 21 tahun pada 29 November nanti.

Penuntut tahun akhir jurusan diploma dalam bidang Seni Hiburan di KDU University College ini memilih untuk memberi fokus kepada bidang pelajaran terlebih dahulu.

“Pihak pengurusan Rocketfuel tidak pernah menghalang hasrat saya yang ingin meneruskan pelajaran dan mereka sangat memahami kehendak saya yang mahu menimba ilmu terlebih dahulu.

“Bayangkanlah ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya terpaksa melakukan aktiviti kuliah secara atas talian seperti berlakon, menyanyi dan menari, ternyata ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan,” kata Irfan lagi.

Irfan Haris turut terlibat dalam ciptaan single Milik bersama komposer lain.

Mengulas lanjut mengenai single Milik, Irfan berkata, proses rakaman lagu tersebut mengambil masa selama empat jam dan agak pendek berbanding dengan lagu-lagu yang pernah beliau rakamkan sebelum ini.

“Tempoh rakaman jadi singkat kerana saya dapat rasakan lagu ini serasi dengan jiwa saya. Lagipun, banyak yang saya pelajari ketika berada di studio rakaman.

“Selain perkara baharu, ramai juga orang baharu yang dapat saya bekerjasama di antaranya komposer tersohor iaitu Mike Chan. Dia banyak memberi tunjuk ajar serta ‘input’ yang menarik dan kreatif dalam menjiwai lagu ini agar dapat dinyanyikan dengan baik semasa di dalam studio,” jelasnya.

Tambah Irfan, video muzik (MV) Milik telah menjalani proses penggambaran sejurus PKP dimansuhkan oleh kerajaan dan mengambil masa sehari untuk disiapkan.

“Saya juga sangat teruja dengan konsep video muzik ini yang memaparkan kisah cinta di kolej, di mana saya percaya ramai remaja pernah berdepan dengan situasi sebegini.

“MV lagu ini sangat ringkas namun pasti memberi impak terhadap sesiapa yang menontonnya,” ujar Irfan mengajak peminatnya menghayati kisah percintaan ‘rakan baik’ dalam single terbaharunya itu.

Adik kepada penyanyi dan pelakon Amira Othman itu berharap pendengar dapat menerima lagu Milik dengan hati terbuka kerana ia berbeza daripada lagu-lagu dendangannya sebelum ini.

“Saya berharap agar pendengar dapat menerima lagu ini kerana ia nyata berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini. Sebagai penyanyi, saya harus lakukan sesuatu yang segar dan baharu untuk terus berkembang sebagai seorang penyanyi serba boleh.

“Semoga ramai terhibur dengan Milik dan bersyukur kalau ada yang menyukainya, dan teruslah menyokong karya anak-anak tempatan,” katanya penuh harapan.

Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna, pihak Rockefuel memahami kehendak Irfan yang ingin memberi fokus terhadap bidang pelajaran.

Irfan Haris tetap mengutamakan pelajaran dan bijak membahagi masa antara pengajian dan karier seni.

“Kami faham dengan kedudukan Irfan sebagai pelajar dan ‘team’ Rocketfuel telah menyusun jadual seni sebaik mungkin agar tidak bercanggah dengan waktu kuliah Irfan.

“Sebagai penyanyi muda, Irfan ada potensi dan gaya vokal yang tersendiri dan dengan kemunculan Milik dapat mengubat hati peminatnya yang selama ini ternanti buah tangan terbaharu daripadanya,” katanya.

Lagu Milik boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.
-BebasNews.

Leave a Reply