PENGELUAR barangan pengguna terkemuka dunia, Unilever belum mahu mengalah apabila memberikan isyarat bahawa ia masih berminat untuk menguasai syarikat pengeluar barangan penjagaan kesihatan GlaxoSmithKline (GSK).

Unilever sebelum ini telah pun menyaksikan tawaran pembelian bernilai £50bn yang dibuatnya ditolak, dan pada Isnin lalu berkata, pembelian itu akan mengukuhkan lagi kedudukannya.

GSK mengeluarkan produk penjagaan kesihatan seperti ubat gigi Sensodyne, Panadol dan vitamin Centrum.

Unilever, yang terlibat dalam mengeluarkan produk seperti Marmite, PG Tips dan sabun Dove, berkata pihaknya mahu menguasai bahagian lebih besar dalam pasaran sektor kesihatan dan kebersihan.

“Pembelian itu akan mewujudkan skala dan platform pertumbuhan untuk portfolio gabungan di AS, China dan India, serta peluang dalam pasaran baru muncul yang lain,” kata Unilever metujuk kepada sinergi perniagaan dalam penjagaan mulut dan suplemen vitamin.

Unilever tidak pula menyatakan sama ada pihaknya akan menjadikan tawaran itu lebih menarik tetapi terdapat laporan bahawa pengeluar barangan pengguna itu mengadakan perbincangan dengan bank untuk berbuat demikian.

Unilever merupakan syarikat ketiga terbesar dalam indeks FTSE 100 London dan bernilai sekitar £100 bilion. Perjanjian akan menyaksikan Unilever mengambil alih salah satu bahagian utama dalam syarikat senaraian awam terbesar yang juga berada dalam senarai FTSE 100. – BebasNews

Leave a Reply