SPRM Johor menahan seorang pengarah sebuah syarikat kerana disyaki memberi butiran palsu untuk mendapatkan tender

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Batu Pahat menahan seorang pengurus sebuah syarikat kerana disyaki mengemukakan butiran palsu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di sebuah daerah bagi mendapatkan kerja-kerja membaik pulih jambatan di Yong Peng bernilai lebih RM150,000.

Menurut sumber, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira pukul 5 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Difahamkan, suspek telah mengemukakan kebenaran menyertai tender yang mengandungi butiran palsu kepada PBT terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja berkenaan pada April tahun lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (ASPRM 2009)

Dalam kes berasingan, SPRM Batu Pahat juga telah menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 34 tahun kerana disyaki menyogok pegawai penguat kuasa sebuah PBT hampir RM300, baru-baru ini.

Suspek yang juga bekerja sebagai pembantu kedai runcit di Skudai melakukan perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak dikenakan kompaun oleh pegawai penguat kuasa terbabit kerana telah menjual arak dan rokok tanpa cukai yang melanggar Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Suspek ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 2.30 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) ASPRM 2009.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan tersebut. – BebasNews

Leave a Reply