NERAKA yang dihadapi oleh Azam Baki dan organisasinya, SPRM seminggu ini merongkai banyak kisah.

Kisah itu sebenarnya lebih bersifat politik semata-mata, mengatasi segala-galanya.

Ia dilihat sebagai satu perancangan besar atau grand design oleh pihak-pihak berkepentingan, yang mahu merangsang sentimen rakyat untuk tujuan tertentu.

Tujuannya ialah untuk menggunakan nama “integriti” dan “rasuah” sebagai satu slogan gelombang kempen sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Difahamkan, pihak-pihak itu mahu pilihan raya diadakan dalam masa yang paling hampir dari sekarang. Mereka mahu mengaut advantage dan keuntungan secepat mungkin.

Kelompok Pakatan Harapan dilihat amat bercita-cita mahu menguasai semula pemerintahan negara ini.

Mereka mahu menggunakan slogan integriti dan rasuah ini sebagai mercu-tanda kejayaan mereka. Jika isu 1MDB berjaya menjatuhkan sebuah kerajaan; maka mereka yakin slogan itu masih boleh digunakan.

Slogan itu adalah senjata penting bagi menguasai fikiran rakyat. Gerakan anak-anak muda juga digunakan bagi mencapai maksud. Jika undi 18 dilaksanakan kelak, lebih 1.5 juta pengundi baharu itu bakal mengundi. Golongan itu adalah yang paling mudah dipengaruhi.

“SPRM sebagai rumah kuasa dan powerhouse kepada soal integriti dan pencegahan rasuah negara adalah lokasi terbaik untuk dicabar kewibawaannya,” kata satu sumber kepada saya.

Institusi itu akan digasak dengan pelbagai desakan termasuk menuntut “reformasi” dilakukan ke atasnya. Kredibiliti dan integriti organisasi itu akan dipertikai. Perasaan masyarakat akan digunakan semaksimum mungkin. Perang psikologi itu adalah sebahagian daripada peperangan politik.

Azam Baki selaku orang yang paling berpengaruh di organisasi itu harus dijadikan kambing hitam. Integriti beliau akan dikorban dan disembelih.

UMNO juga mahu supaya PRU15 diadakan secepat mungkin, atau kurang enam bulan dari sekarang.

Semasa perhimpunan agung parti itu pada 16-19 Mac ini, difahamkan satu usul akan dibawa bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan kerajaan dan mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat.

Persoalannya adakah Yang di-Pertuan Agong akan berkenan dengan desakan itu? Atau adakah Ismail sendiri akan bersetuju?

UMNO cukup yakin bahawa mereka juga boleh berjaya menguasai semula negara ini dan bakal menuteralkan semula banyak kes kluster mahkamah yang dihadapi oleh para pemimpinnya.

Perlu diingat Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sedang menghadapi perbicaraan yang amat perit. Keputusan sama ada Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diperintahkan membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, akan diketahui pada 24 Januari ini (lima hari dari sekarang).

Gerakan bagi memburuk-burukkan SPRM sudah bermula sejak akhir tahun lepas apabila serangan dilakukan menerusi portal-portal tertentu secara istiqomah dan berperancangan.

Satu portal hantu dikenali sebagai Edisi Siasat, juga dikenali sebagai ES, dilihat menyerang Azam Baki secara bertubi-tubi.

Maklumat-maklumat yang didedahkan memperlihatkan Azam diserang secara peribadi dalam usaha membunuh karakter beliau secara langsung.

Azam mungkin menganggap maklumat-maklumat yang didedahkan mengenainya itu sebagai “mengarut”. Tetapi, ada juga yang membuatkan beliau tersentak. Ini adalah kerana ada antara maklumat yang didedahkan itu bersifat “sulit”.

Beliau mungkin hairan dari mana datangnya sumber-sumber itu?

Namun menurut satu maklumat, difahamkan Azam telah pun mengetahui orang-orang di belakang ES, termasuk siapa yang menajanya, dan dengan pihak mana ia berada — walaupun portal hantu itu sudah berkali-kali cuba mengubah identitinya.

Susulan itu, isu saham dibangkitkan sebagai kemuncak kepada pembunuhan peribadi Azam. Serangan itu dirancang dengan cukup teliti dan rapi, termasuk sokongan daripada bala tentera siber.

Sehingga semalam Azam dilihat berjaya keluar daripada kemelut itu. Suruhanjaya Sekuriti (SC) merumuskan tiada kes yang boleh disabitkan dengan dakwaan ke atas beliau.

Namun cabaran beliau masih belum selesai. Azam sebenarnya terperangkap dalam tanggungjawabnya sendiri. Musuh-musuh beliau keliling pinggang.

Apa yang Azam wajib lakukan sekarang ialah kotakan apa yang beliau katakan selepas keputusan SC itu semalam, iaitu:

“Dengan itu, saya akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat.”

Azam Baki tidak boleh mengalah. Jangan biarkan perasuah di luar sana bermaharaja lela.

BebasNews

Leave a Reply