SKUAD B23 Malaysia dikendalikan Bradley Maloney dari Australia. - Foto FAM

MEDAN pemanas badan yang tepat menjelang tiga misi penting sepanjang 2022 selain peluang terbaik menebus maruah abang senior Harimau Malaya yang tercalar teruk, bulan lalu.

Pasukan kebangsaan terkandas dalam saingan Kumpulan B Piala AFF 2020 (2021) di Singapura, bulan lalu sehingga mendorong peletakan jawatan ketua jurulatihnya, Tan Cheng Hoe pada 3 Januari lalu.

Kejohanan Bawah 23 Tahun AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari ini menemukan skuad belia bimbingan Brad Maloney ini dengan Indonesia, Myanmar dan Laos dalam Kumpulan B.

Skuad B22 Malaysia bakal menghadapi jadual padat yang akan diikuti dengan Sukan SEA Ke-31 di Hanoi (12 hingga 23 Mei ini), Piala Asia B23 AFC di Uzbekistan (1-19 Jun) dan Sukan Asia Ke-19 (10–25 September).

Hanya tiga juara setiap kumpulan termasuk A (Kemboja, Timor-Leste, Filipina dan Brunei) dan C (Thailand, Vietnam dan Singapura) serta satu naib juara terbaik daripada kesemuanya, akan layak ke separuh akhir.

Lawan sulung skuad Maloney ialah Myanmar pada 16 Februari disusuli Laos (18 Februari), kedua-duanya di Stadium Prince dan Indonesia (21 Februari) di Stadium Nasional Morodok Techno, Phnom Penh.

Maloney, warga Australia, menganggap peluang seimbang untuk pasukan-pasukan daripada Kumpulan B merebut slot separuh akhir sambil menganggap tiada perlawanan mudah buat anak-anak buahnya.

“Satu undian yang agak seimbang. Kami pernah berdepan Indonesia pada separuh akhir Kejuaraan B18 AFF 2019 di Vietnam – satu perlawanan yang cukup epik yang akhirnya kami menang 4-3 dalam masa tambahan.

“Mengenai Laos, kami baru saja temui pada Kelayakan Piala Asia B23 2022 di Mongolia, Oktober lalu yang juga satu perlawanan yang sukar sebelum kami menang 1-0.

“Jadi tiada istilah perlawanan atau lawan yang mudah kerana kini sesiapa pun boleh mengalahkan pasukan lain di rantau Asia Tenggara ini,” kata Maloney dalam laman rasmi Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Maloney, siri perlawanan persahabatan sedang diatur untuk anak-anak buahnya sebelum terbang ke Phnom Penh pada bulan depan.

“Saya rancang untuk mula mengumpul pemain bagi kem latihan pusat pada satu tarikh yang akan ditetapkan bulan ini.

“Kami juga akan mengatur tiga atau empat perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum ke Kejohanan B23 AFF itu,” katanya.

Maloney menganggap peluang pasukannya ke separuh akhir bakal lebih cerah jika dibekalkan persediaan yang mantap dan tersusun.

Ketika meraih tiket ke Uzbekistan sebagai juara Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B23 AFC di Ulaanbaatar, skuadnya terlebih dulu melalui tiga perlawanan persahabatan dengan pasukan senior Liga Super dan Perdana.

Mereka ditewaskan Negeri Sembilan FC 2-1 sebelum menewaskan Penang FC 2-1 dan Kedah Darul Aman FC 2-0 di Subang Jaya, Selangor.

Kejohanan B23 anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ini sebelumnya dikenali sebagai Piala LG B-22 2019 juga di Phnom Penh.

Malaysia yang ketika itu dibimbing Datuk Ong Kim Swee manakala Maloney sebagai penolong jurulatih, hanya menduduki tempat ketiga Kumpulan B dan gagal ke peringkat kalah singkir.

Mereka bermula dengan sentuhan kecundang 1-0 kepada tuan rumah, bangkit seri 2-2 dengan Indonesia namun ditundukkan Myanmar 1-0 dalam saingan peringkat awal itu.

Juaranya ialah Indonesia yang menewaskan Thailand 2-1. – BebasNews

Leave a Reply