Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Bagi Pendidikan yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dikatakan melangkaui bidang tugas apabila mengarahkan supaya Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi menghantar wakil ke prosidingnya setiap minggu.

Sumber memberitahu BebasNews, tindakan tersebut secara langsung telah mengganggu tugas hakiki para pegawai.

“Di dalam terma rujukan (TOR) PSC jelas mengatakan bahawa PSC hanya boleh bersidang jika ada usul yang dibawa oleh Dewan Rakyat atau Menteri sahaja. Bukan boleh panggil sesuka hati,’’ kata sumber Itu.

Sumber itu menambah, Kabinet juga telah membuat keputusan supaya terma rujukan PSC dikaji semula oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Selagi belum jelas, maka tidak perlu hadir ke prosiding PSC. KPM berpegang kepada keputusan Kabinet tersebut dan tidak hadir walaupun Dr Maszlee memanggil ke prosidingnya.

“Setakat ini sudah 3 kali KPM menolak untuk hadir ke PSC Pendidikan yang dipengerusikan oleh Dr Maszlee,’’ kata sumber itu.

Selain itu, menurut sumber itu lagi, Dr Maszlee selaku Pengerusi PSC Pendidikan turut merancang mengadakan sesi turun padang bagi melawat institusi pendidikan dari peringkat rendah sehingga universiti awam.

Menurutnya, beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa itu juga telah menimbulkan persepsi negatif dan kemarahan masyarakat terhadap kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan.

Buat masa ini terdapat 10 PSC yang dipengerusikan oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang. (Rujuk parlimen.gov.my)

PSC menjadi isu semalam apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Pas Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hadir ke prosiding mereka.

Jemputan itu dibuat bagi membincangkan isu pemilikan saham Azam.

Namun Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin mengeluarkan surat penangguhan berikutan terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan undang-undang daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen.

Dalam pada itu, BebasNews turut menerima rungutan daripada pensyarah universiti yang turut dipanggil ke prosiding itu.

“Apabila tiba ke mesyuarat itu, Dr Maszlee mempengerusikan mesyuarat bersama-sama timbalannya semasa menjadi menteri dahulu. Kemudian setelah tamat mesyuarat, kami diingatkan supaya jangan kongsikan butiran perbincangan mesyuarat tersebut.

“Selepas ini, kami tidak mahu hadir lagi,’’ kata pensyarah itu yang enggan dikenali.

— BebasNews

Leave a Reply