PUTRAJAYA – Kerajaan menerusi Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK) akan melancarkan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 dalam usaha memacu pembangunan sektor itu secara lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan akan memastikan sektor Agrikomoditi terus diperkukuhkan.

“Di bawah Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’, kerajaan telah memperuntukkan sekitar RM670 juta kepada kementerian ini bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Dasar yang akan memayungi pembangunan Agrikomoditi negara adalah penting agar sektor ini terus berdaya saing dan kekal terpelihara sepanjang zaman. Ini selaras dengan norma baharu dan peningkatan penggunaan digital pasca Covid-19,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Agrokomoditi
Keluarga Malaysia di Hotel Marriot malam ini.

Ismail Sabri berkata, DAKN 2021-2030 akan digunakan sebagai rujukan kepada industri komoditi negara dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Jelasnya lagi, dasar tersebut akan melahirkan pekebun kecil ‘pintar’ yang mengamalkan pertanian moden menerusi penggunaan teknologi.

“Dasar ini bakal meningkatkan daya saing usahawan bumiputera dalam sektor industri hiliran Agrikomiditi,”katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, difahamkan pada tahun 2020, sektor Agrikomoditi telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang dianggarkan sebanyak RM85 bilion, yang mana sumbangan KDNK Huluan Agrikomoditi adalah sebanyak RM46 bilion, manakala Hiliran sebanyak RM38 bilion.

“Meskipun pandemik Covid-19 melanda negara, nilai eksport produk Agrikomoditi pada tahun 2020 terus kukuh pada RM151.3 bilion dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 17.8 peratus berbanding RM128.5 bilion pada tahun 2019.

“Pada tahun 2021 pula, jumlah eksport Agrikomoditi terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan walaupun negara masih berada dalam pandemik Covid-19,”katanya.

Katanya lagi, sehingga bulan November tahun lalu, pendapatan eksport dianggarkan RM189.8 bilion iaitu meningkat 41.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.

Perubahan ini katanya, banyak didorong oleh peningkatan import di negara pasaran utama selain nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit.- BebasNews

Leave a Reply