KUALA LUMPUR – Raya Airways Sdn Bhd (Raya) kini berusaha untuk memanfaat daripada jangkaan peningkatan permintaan dalam industri pengangkutan udara.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengunjurkan permintaan pada tahun ini akan meningkat 13 peratus berbanding tahun 2019 dengan hasil perolehan kargo meningkat lebih RM670 bilion.

Sehubungan itu, Raya komited dalam melaburkan sumber dan usaha serta masa untuk mengukuhkan lagi angkatan pesawat pengangkutnya, rangkaian laluan dan juga mendapatkan bakat baharu untuk memastikan apa yang dirancang tercapai, kata Pengarah Urusan Kumpulannya Mohamad Najib Ishak, lapor Bernama.

Dengan sokongan 450 kakitangan meliputi hab-hab serantau di China, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Hong Kong dan juga pusat komersial di Sabah dan Sarawak, syarikat itu kini berusaha beroperasi sehingga melepasi sempadannya dalam perkhidmatan penghantaran melalui udara yang berkembang pesat.

Raya sedang mengenal pasti pasaran-pasaran baharu dan menguasai pasaran sedia ada yang akan menjadi pemancu utama dalam pertumbuhan masa depan.

Sehubungan itu, pihak syarikat telah meningkatkan purata muatan mingguan ke destinasi terbarunya di Nanning, China, kepada 120 tan, meningkat tiga kali ganda berbanding ketika memulakan laluan ini pada Jun tahun lepas, sekali gus memberikan kelebihan daya saing yang besar, terutamanya dalam sektor e-dagang.

Raya kini mencatatkan purata muatan dan kapasiti gabungan mingguan untuk semua penerbangan serta semua destinasi antara 1,700 dan 1,900 tan melalui tiga Boeing 767-200F dan satu Boeing 737-400F.

Syarikat itu merancang untuk menjadi syarikat perkhidmatan penghantaran pertama Malaysia mengendalikan dron kargo di ASEAN. – BebasNews

Leave a Reply