LEE Zii Jia hanya baru meraih satu gelaran berprestij, Seluruh England 2021 sejak bersama BAM.

“SAYA bukan (Datuk) Lee Chong Wei. Saya tidak boleh tahan dengan tekanan. Saya mahu mencapai cita-cita dengan cara sendiri tanpa dikongkong dan dikawal.”

Luahan perasaan ini mewakili antara sebab juara Seluruh England 2021 itu mengumumkan pengundurannya daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi pemain bebas pada 11 Januari lalu.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mendedahkan hasrat pemain nombor tujuh dunia itu kepada media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 di ibu kota, hari ini.

“Saya kecewa dengan keputusan Zii Jia selepas BAM mengasuh dan membantunya membina karier badmintonnya sejak berusia 13 tahun untuk mencapai impiannya menjadi legenda seperti Chong Wei.

“Dia baru menang satu Seluruh England. Sepatutnya berikan tumpuan dan kekal dengan BAM.

“Jika anda masih mempunyai keinginan untuk mencapai impian anda, bekerja keraslah sebab ini tugas demi negara kita.

“BAM telah berjaya melahirkan pemain bertaraf dunia. Ini satu perasaan yang ketara kita rasakan,” kata Norza, juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam rakaman audio temu bual media hari ini yang diperoleh BebasNews.

Hasrat pengunduran Zii Jia itu walau bagaimanapun dirujuk kepada mesyuarat Majlis BAM kelmarin yang keputusannya akan diumumkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dalam sidang media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada Jumaat ini.

Kata Norza, Chong Wei yang juga pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik 2008, 2012 dan 2016 kekal bersama BAM selama 19 tahun sekali gus meyakinkannya tiada masalah untuk kekal dengan badan induk kebangsaan itu.

“Ketika Zii Jia mencapai kemuncak sebagai pemain, BAM menjadi tempat untuk dia meneruskan kariernya sehingga dia mungkin menjadi pemain nombor satu dunia dan legenda. Namun dia mungkin ada keutamaan lain,” katanya.

Setiausaha Agung BAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan, Datuk Kenny Goh kata Norza, turut telah berbincang dengan pemain perseorangan utama negara itu beberapa kali namun masih gagal mengubah hasratnya.

“Kami ketengahkan isunya kepada Majlis kerana dia aset utama kita. Sememangnya kami tidak mahu dia mensia-siakan masa depannya. Majlis akan bincangkannya selepas mendengar daripada semua pihak dan akan membuat keputusan,” katanya.

Anak jati Alor Setar, Kedah berusia 23 tahun itu disekat juara bertahan Sukan Olimpik dari China, Chen Long dalam pusingan kedua temasya di Tokyo, Julai lalu namun sempat membantu skuad campuran negara ke separuh akhir Piala Sudirman, Oktober lalu.

Zii Jia kemudian bergelut dengan kepenatan dan kecederaan sehingga terpaksa menarik diri daripada Master Indonesia di Bali (November) dan Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol, sebulan kemudian.- BebasNews

Leave a Reply