Oleh Nurul Syahadah Mohd Riza
Universiti Teknologi Malaysia, Skudai
dan
Mohd Farhan Md Ariffin
Universiti Kebangsaan Malaysia

BARU-BARU INI Malaysia dikejutkan dengan banjir di kawasan Lembah Klang, bukan lagi banjir kilat tetapi lebih parah kerana berlaku banjir besar setelah turunnya hujan lebat berhari-hari tanpa henti. Sejajar dengan itu, banjir yang berlaku pada akhir tahun 2021 boleh dikatakan banjir terbesar dan paling buruk di Malaysia. Dilaporkan puluhan kes kematian akibat banjir melibatkan kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas.
Banjir merupakan bencana yang berlaku setiap tahun, namun ia menjadi lebih parah apabila tiada persediaan yang dibuat bagi menghadapinya. Penduduk tidak mendapat amaran awal untuk mereka bersiap siaga dan bertindak. Keadaan bertambah buruk apabila empangan dibuka bagi melepaskan air kerana telah mencapai tahap bahaya. Ini menyebabkan mangsa yang terlibat terpaksa menunggu pasukan penyelamat dalam tempoh yang lama sehingga mereka berada dalam kesejukan dan terputus bekalan makanan.
Banjir memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia sehingga meninggalkan trauma segelintir masyarakat apabila turun hujan lebat tanpa henti. Masyarakat awam mengalami kerugian besar akibat tragedi banjir, melibatkan kerosakan harta benda seperti peralatan elektronik, perabot, kenderaan dan sebagainya. Bencana ini mengakibatkan gangguan Internet dan persekitaran tidak kondusif. Dianggarkan lebih kurang satu bilion kerugian isi rumah terjejas banjir.
Rakyat juga terdesak dengan perilaku ekstrem sehingga sanggup mencuri barang di premis perniagaan dan sebagainya. Bagi meredakan keadaan, pihak NGO dan kumpulan kesukarelawan tampil untuk sama-sama turun padang membantu mangsa banjir.
Sebenarnya, tiada mana-mana kerajaan di dunia yang mampu menyelesaikan masalah rakyat jika bencana berlaku pada skala besar. Di Amerika Syarikat, kerajaan gagal untuk menyelesaikan masalah rakyat selepas berlaku taufan Katrina, Sandy dan pelbagai bencana lain saban tahun di serata negara. Sekarang rakyat boleh melihat sendiri bahawa hanya akibat hujan yang tidak berhenti selama beberapa hari di beberapa kawasan yang tertentu di Malaysia, kerajaan tidak mampu menyelesaikan menampung semua kerugian isi rumah.
Rasulullah SAW juga tidak pernah menjanjikan kepada rakyat Madinah bahawa pemerintahan baginda mampu menyelesaikan masalah masyarakat jika berlaku bencana seperti banjir besar, ribut taufan dan lain-lain. Sebaliknya Rasulullah SAW mendidik rakyat supaya saling bantu membantu semasa mereka dalam kesusahan. Dalam al-Quran, banyak ayat yang memuji sikap masyarakat yang suka membantu orang yang dalam kesusahan. Dalam surah al-Baqarah ayat 177, Allah SWT berfirman:

“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan ke barat itu adalah suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah sesiapa yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, ibnsabil (musafir), dan orang-orang yang meminta-minta dan orang-orang yang memerdekakan hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janji ketika ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan dan penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.”

Malangnya, ramai yang mengambil sikap tidak peduli, sambil menyatakan bahawa tanggungjawab membantu golongan yang ditimpa bencana adalah di atas bahu kerajaan semata-mata melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, NADMA dan lain-lain. Jika seluruh rakyat yang berjumlah 30 lebih juta memberi fokus untuk membantu beberapa ratus ribu rakyat yang terbabit banjir, sudah tentu bencana ini akan dapat diatasi dengan senang. Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa tanggungjawab membantu mangsa banjir terletak di atas bahu mereka sendiri.
Bencana ini bukan hanya menjadi ujian kepada mereka yang menjadi mangsa banjir sahaja, mereka secara terang-terangan telah diuji Allah. Bahkan, semua orang diuji tanpa sedar. Apakah ujiannya? Ujian kepada orang yang tidak menjadi mangsa adalah tindakan mereka. Adakah kita menghulurkan bantuan dan pertolongan untuk meringankan beban mereka? Bantuan bukan hanya dalam kewangan, tetapi juga boleh diberi dalam pelbagai bentuk seperti makanan, pakaian, tenaga dan sebagainya.
Tetapi itu semua hanya berdaya dalam tempoh singkat. Peruntukan pencegahan bencana alam seperti membina takungan air, sistem saliran air yang sistematik dan amaran awal risiko bencana merupakan retorik pelan jangka pendek yang lazim bagi mengurangkan risiko bencana banjir.
Di Malaysia, tanggungjawab kesihatan dan keselamatan masih ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan melalui pelbagai skim yang disediakan ketika ini. Dengan ketidakstabilan ekonomi dan politik dunia, kerajaan tidak akan mampu untuk menanggung selama-lamanya. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, negara kita sedang menuju ke arah negara tua (Aging Society) pada tahun 2030. Maka penghayatan nilai masyarakat sivil 5.0 mampu memberi sokongan kepada kerajaan dari sudut ekonomi, sosial dan kesihatan.
Bagi pelan jangka masa panjang, pembinaan masyarakat sivil (civil society 5.0) yang menumpu ke arah integrasi teknologi dan manusia mampu membantu negara Malaysia mencapai transformasi yang lebih lestari. Pemupukan semangat patriotisme dan kesukarelawanan dalam komuniti, menjalin kerjasama strategik dalam membudayakan kesukarelawanan dalam komuniti serta pembentukan masyarakat yang berdisiplin, berdikari dan berkongsi nilai serta kepakaran merupakan teras kepada masyarakat sivil 5.0. Ia berpaksikan kepada komuniti (community centred) dengan penekanan kepada aspek kenegaraan, semangat kebangsaan, perpaduan nasional rentas kaum dan agama yang dapat dipupuk melalui aktiviti-aktiviti komuniti. Masyarakat sivil 5.0 menciptakan layanan, nilai-nilai dan cara baharu dalam kehidupan.
Dalam erti kata yang lain, ia bermaksud toleransi rakyat membantu kerajaan mengurus sebuah negara. Ia bertindak dengan rakyat sebagai penggerak mengenal pasti isu-isu setempat dan menghasilkan penyelesaian yang bersifat lokal melalui penglibatan langsung daripada komuniti pada peringkat akar umbi. Ia lebih selamat dari penyelewengan dana dan meminimakan penglibatan orang tengah. Sebagai langkah awal, pakar perancang bandar, jurutera awam, pengairan dan saliran dan sebagainya perlu duduk berbincang menyatukan pemindahan pengetahuan, menjalinkan kerjasama strategik dengan GLC dan korporat dan melibatkan komuniti setempat untuk mendatangkan penyelesaian yang lebih realistik bagi menangani isu banjir. Dengan itu, kebergantungan kepada dana kerajaan dapat dikurangkan dan rakyat lebih berdikari membentuk hidup yang mereka sendiri boleh rancang dan tentukan.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.

– BebasNews

Leave a Reply