PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden percaya bahawa Rusia akan menyerang Ukraine tetapi tidak akan melakukannya sehingga membawa kepada berlaku satu peperangan yang besar.
Biden berkata demikian ketika ditanya dalam satu sidang media.
Presiden AS itu berkata, presiden Vladimir Putin akan menyerang Ukraine tetapi memberi amaran bahawa tindakan itu memberikan kesan yang besar dan buruk kepada negara bekas komunis itu.
Rusia sebelum ini menafikan rancangannya untuk menyerang Ukraine tetapi telah menghimpunkan sekitar 100,000 anggota tentera hampir dengan sempadan dengan negara tersebut, lapor BBC.
Perbincangan antara Rusia dengan negara-negara Barat telahpun diadakan sebelum ini tetapi gagal untuk mencapai sebarang persetujuan.
Rusia meminta kerajaan negara-negara Barat supaya menolak penyertaan Ukraine dalam Nato dan aktiviti pakatan ketenteraan hanya terhad kepada negara anggota termasuklah di Poland.
Rusia telah bertindak menguasai semenanjung Crimea milik Ukraine pada tahun 2014 selepas kerajaan Ukraine yang pro Rusia dijatuhkan, Tindakan itu dilakukan dengan sokongan pemberontak pro Rusia yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 13,000 penduduk terkorban. – BebasNews