Oleh Dr Shahino Mah Abdullah

SISTEM ekonomi konvensional hari ini, bersifat linear atau searah, biasanya mengamalkan kaedah ‘ambil, buat dan buang’ (take-make-waste). Ia telah menyebabkan penyusutan sumber alam semulajadi dengan cepat dan mnhggnemburukkan lagi pencemaran alam sekitar. Anjakan sistem ekonomi yang lebih mesra alam perlu dilaksanakan segera bagi mengimbangi keperluan penjanaan pendapatan negara dan penjagaan alam untuk jangka masa panjang. Justeru, idea amalan perindustrian mampan melalui ‘ekonomi kitaran’ boleh diguna pakai untuk menjadi satu dari penyelesaian dalam menangani isu alam sekitar selepas pandemik.
‘Ekonomi kitaran’ dapat mengurangkan eksploitasi sumber alam dengan memaksimumkan kegunaan sesuatu bahan atau produk. Ia dapat mengurangkan sisa buangan daripada tapak pelupusan, dan sekaligus berupaya mengurangkan pencemaran alam sekitar. Sistem ekonomi ini bertujuan untuk mengurangkan pembaziran sumber melalui proses reka bentuk semula, pengurangan bahan mentah, pembaikan prestasi, penggunaan semula, pengubahsuaian, kitar semula dan pemulihan yang akhirnya akan membenarkan penjanaan semula ekosistem alam semulajadi.
Bagaimanapun, dalam tempoh pasca pandemik, terdapat beberapa cabaran dalam melaksanakan ‘ekonomi kitaran’. Cabaran pertama adalah kerajaan perlu mengutamakan perbelanjaan ke arah memulihkan kesihatan awam supaya ia boleh berdaya tahan terhadap pandemik semasa mahupun yang akan datang. Pihak kerajaan juga perlu memperkasakan sistem sokongan untuk membantu individu dan perniagaan yang terjejas dan yang paling penting adalah memulihkan ekonomi negara untuk jangka masa panjang. Oleh itu, bagi memastikan agenda pemulihan alam sekitar tidak ketinggalan dalam ‘cabaran keutamaan’ ini, elemen kemampanan jangka panjang mesti diambil kira sebagai sebahagian daripada keputusan dasar dalam merangka polisi baharu.
Pemikiran strategik dan penilaian sistemik adalah amat penting bagi mengenal pasti pilihan dasar yang dapat memanfaatkan tindakan jangka masa pendek demi kebaikan jangka masa panjang. Ini bermakna, setiap tindakan jangka masa pendek bukan sahaja dapat menyokong pertumbuhan ekonomi, malah ia dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan hidup masyarakat setempat dan alam sekitar. Sebagai contoh, mengembangkan dan menambah lagi kemudahan tenaga hijau dapat memberi manfaat bukan sahaja untuk memenuhi permintaan tenaga semasa, tetapi juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada kumpulan yang terjejas dan mengurangkan pencemaran alam.
Di Eropah, ‘ekonomi kitaran’ telah menjadi satu pendekatan yang diterima baik dalam mengurus sumber dan mengendalikan bahan buangan. Ia turut melibatkan transformasi ‘sisa buangan kepada tenaga’ atau ‘waste-to-energy’ (WTE) melalui loji pembakaran sampah dalam membersihkan tapak pelupusan serta dapat memulihkan sisa terkumpul dengan menukarkannya kepada tenaga elektrik yang boleh diguna kembali oleh industri dan pengguna. Pemulihan tenaga daripada sisa buangan pada asasnya ialah penukaran bahan buangan yang tidak boleh dikitar semula melalui pelbagai proses, termasuklah pembakaran, pirolisis, pengegasan, pencernaan anaerobik dan pemulihan gas dari tapak pelupusan kepada haba, elektrik atau bahan bakar. WTE memainkan peranan penting dalam pengurusan sisa mampan dan mengurangkan pergantungan kepada sumber fosil yang menyumbang kepada pelepasan karbon yang tinggi.
Cabaran kedua adalah bilangan loji WTE di Malaysia amat sedikit. Malaysia mempunyai loji WTE terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan yang mula beroperasi pada Jun 2019. Ia mampu memproses 100 tan sisa setiap hari bagi menjana 25 MW tenaga elektrik. Beberapa lagi loji WTE dengan tujuan sama dijangka akan dibina di Sungai Udang, Melaka; Bukit Payung, Terengganu; Seelong, Johor; Samling, Selangor dan Jabor, Pahang. Memandangkan populasi rakyat Malaysia semakin meningkat, lebih banyak bahan buangan akan dihasilkan dan dengan itu, lebih banyak loji WTE diperlukan untuk menangani isu tapak pelupusan sampah.
Walau bagaimanapun, sesetengah negara seperti Sweden dan Belanda, telah menunjukkan lebihan kapasiti pembakaran yang bukan sahaja menggunakan semua sisa tapak pelupusan mereka sendiri tetapi kini mengimport lebih banyak sisa dari negara jiran bagi tujuan penjanaan tenaga. Kesannya, ia memberi impak besar kepada pasaran kitar semula dan ini sekaligus menjadi cabaran ketiga bagi ‘ekonomi kitaran’. Dengan kata lain, walaupun WTE dapat mengawal pencemaran dan mengurangkan sisa di tapak pelupusan sampah, pembakaran sisa buangan yang berlebihan telah mengenepikan peranan penting kitar semula bahan yang masih boleh digunakan lagi seperti plastik, tin dan kertas.
Akibatnya, kebergantungan kepada lebih banyak sumber mentah baharu tidak dapat dikurangkan kerana sektor kitar semula kian diabaikan dan tidak berupaya untuk memberi sumbangan yang mencukupi. Ini terjadi apabila jumlah sisa buangan yang disalurkan ke sektor kitar semula dan WTE adalah sangat tidak seimbang. Salah satu faktor ia terjadi adalah kerana proses WTE yang kurang rumit dalam mengubah sisa kepada tenaga melalui pembakaran berbanding prosedur kitar semula yang merangkumi pengumpulan, pengangkutan, pengasingan, pembersihan dan pemprosesan semula yang kompleks sebelum produk baharu dapat dihasilkan dan dijual.
Walaupun terdapat cabaran yang besar dalam sektor kitar semula di kebanyakan negara, sektor ini mesti dipertingkatkan dan diperkasakan kerana kitar semula merupakan subset penting dalam ‘ekonomi kitaran’ yang sebenar. Oleh itu, WTE tidak seharusnya menjadi alternatif untuk memintas kegiatan kitar semula dan tidak boleh dianggap sebagai satu-satunya pilihan yang lebih mudah untuk melenyapkan sisa buangan.
Cabaran keempat adalah sistem pengasingan sisa sedia ada mestilah dibuat lebih cekap dan menyeluruh. Proses pembakaran WTE berfungsi sebagai penyelesaian jangka pendek bagi menguruskan krisis sisa buangan, manakala sistem pengasingan sisa yang baik akan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua sektor kitar semula dan WTE untuk jangka masa panjang. Peranan pengasingan sisa buangan menjadi semakin penting ketika penularan pandemik COVID-19 apabila ia menyebabkan peningkatan besar sisa perubatan dan plastik. Kesemua cabaran ini perlu diatasi dengan baik ketika negara sedang berusaha memulihkan ekonomi selepas pandemik tanpa mengabaikan pemeliharaan alam sekitar.
Kesimpulannya, ‘ekonomi kitaran’ ini mampu membawa perubahan positif bukan sahaja untuk ekonomi, malah kepada kesejahteraan alam dan kehidupan rakyat Malaysia dengan potensi peningkatan peluang pekerjaan yang lebih bersih dan selamat sekiranya ia dilaksanakan dengan betul, bersepadu dan sistemik.


Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.
BebasNews

Leave a Reply