Oleh Faisal Zakariah

APABILA bercerita mengenai bola sepak, banyak isu yang berlegar dalam fikiran kita mengenai pasukan ini dan boleh diperbincangkan. Antaranya kepimpinan, kemerosotan dan kedudukan terkini pasukan negara. Jika kita lihat, sehingga 23 Disember 2021 lalu, Malaysia berada pada kedudukan 154 dunia.

Kali ini saya tertarik untuk membicarakan berkaitan isu berkaitan bukan teknikal kerana saya kurang pakar dalam bidang teknikal. Bidang tersebut biarlah diserahkan kepada mereka yang sememangnya pakar dalam bidang tersebut dan mempunyai lesen kejurulatihan untuk memperkatakan mengenainya.

Saya percaya bahawa bahawa bukan semua pendapat saya akan mendapat tempat di semua hati peminat bola sepak tanah air. Apa yang penting, perkongsian ini akan sedikit sebanyak mampu mencambahkan ilmu yang sedia ada ke arah pembangunan bola sepak negara dan ianya juga untuk sama dibincangkan dengan lebih terbuka bagi membantu mencari jalan penyelesaian.

Bercakap atau memikirkan sesuatu matlamat adalah perkara yang mudah tetapi untuk mendapatkannya bukanlah semudah yang diperkatakan dan difikirkan. Matlamat yang ada itu perlu lebih diperincikan mengikut matlamat yang telah ditetapkan, merangka dan membangunkan pelan tindakan tersebut, seterusnya melaksanakan ia. Sememangnya halangan dan cabaran akan ada dan ia perlu dilalui walaupun terpaksa mengharungi jalan yang jauh untuk mencapainya.

Saya dan peminat peminat bola sepak Tanah Air bukanlah orang yang sehebat mereka yang dipilih menduduki Persatuan Bola sepak Malaysia. Namun kami percaya, kami juga ingin bersama memartabatkan sukan Bola Sepak Malaysia. Memetik kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat yang terkenal iaitu Teddy Roosevelt :

“Tiada apa yang bernilai di dunia yang perlu dilakukan kecuali usaha, kesakitan dan kesukaran”

Kata-kata tersebut membawa maksud tiada jalan pintas dalam mengejar matlamat kecuali berusaha dengan lebih gigih, sedia untuk menerima keperitan dan sanggup menempuh ranjau. Bak kata pepatah Melayu, ‘Jika Takut Dilambung Ombak, Jangan Berumah Di Tepi Pantai’.

Kami juga sedar, anda yang berada di barisan Exco FAM tidak perlu menjawab dengan kami kerana anda dipilih oleh ahli gabungan anda tetapi janganlah memandang sepi hak kami sebagai peminat. Namun begitu, perubahan tetap tidak berlaku sehingga ke hari ini malah semakin lama menjadi semakin teruk kedudukan bola sepak negara. Sudah tentunya ada yang tidak kena dengan pentadbiran bola sepak itu sendiri. Adakah kerana sistem yang sedia ada pada hari ini terlalu selesa atau mempunyai sebab-sebab lain? Menuding jari ke arah orang lain tidak akan menyelesaikan sesuatu masalah sebaliknya perlu mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.

Kini sudah sampai masanya, barisan Exco sedia ada di FAM menumpukan usaha ke arah kemajuan dan peningkatan prestasi bola sepak negara. Jangan terus menagih ganjaran atau kemudahan yang disediakan di kerusi empuk sahaja tanpa melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan ini. Pastinya setiap amanah yang diberi ini akan ditanya di akhirat kelak. Ganjaran akan datang pada setiap usaha yang dilakukan sekaligus akan membawa kepada kejayaan pasukan. Fokuslah kepada usaha ke arah kejayaan.

Pelbagai jawatan wujud untuk Exco memperolehi kedudukan kedudukan tertentu. Perlu diingatkan disini, jawatan itu adalah tanggungjawab bukan semata mata ganjaran. Ganjaran pasti datang pada setiap usaha yang membawa kejayaan. FAM perlu mengubah fokus kepada Usaha Tangga Kejayaan.

Sememangnya peminat bola sepak di tanah air ini dahagakan kejayaan. FAM dan peminat perlu berpijak di bumi nyata. Matlamat perlu ditakrifkan dan mestilah realistik. Tanpa takrifan yang jelas mengenai matlamat, ianya hanyalah angan-angan semata mata. Kalau hanya sekadar menyatakan mahu menjadi juara atau layak ke separuh akhir adalah terlalu kabur tanpa meletakkan sebarang spesifikasi. Bercakap tanpa merancang dan berbuat sesuatu ke atasnya tidak akan membuahkan hasil sepertimana yang diimpikan. Setiap kejayaan itu perlu digalas oleh setiap orang dan bukanlah diletakkan di atas bahu Pengarah Teknikal atau Ketua Jurulatih semata-mata. Itulah yang dinamakan kerja berpasukan. Kemanisan akan dirasai bila usaha yang dibina itu mampu dikecapi.

Budaya ‘multitasking’ yang ada bukanlah salah sebaliknya perlu digunakan dengan sebaiknya. Kemahiran yang dimiliki oleh setiap orang ada kalanya tidak sama dan ia perlu digabung dan diadun secara bersama untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Sikap sedia ada di dalam FAM itu seperti membebankan/ menekan seseorang yang mempunyai kemahiran tertentu untuk mencapai matlamat perlu dielakkan. Perancangan rapi perlu dibuat bagi membolehkan matlamat yang dibina itu tercapai. Jika FAM mengabaikan langkah langkah ini maka banyak perkara akan terlepas pandang

Memang telah menjadi lumrah sejak azali, insan yang bernama manusia akan memberi seribu satu alasan apabila gagal dalam sesuatu perkara dengan istilah lainnya gagal. Walau bagaimanapun, alasan itu mungkin ada kebenarannya. FAM hanya perlu tahu, adakah individu tertentu itu melumpuhkan atau meninggalkan matlamat. Jika inilah yang berlaku maka ianya perlu dibendung dengan segera dan beberapa tindakan perlu diambil. Dalam hal pasukan negara, apakah tindakan drastik yang perlu diambil??

Sudah tiba masanya Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dibubarkan dan segala yang berkaitan dengannya termasuk Pengurus pasukan dan apa jua jawatan dilucutkan dan digantikan dengan Pengurusan yang baharu. Pengurusan baharu ini perlu diberi kebebasan untuk mencorakkannya berlandaskan matlamat F:30 atau mungkin dengan satu matlamat yang baharu. Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim adalah calon yang paling sesuai untuk mengambilalih tampok kepimpinan ini. Saya memetik kata kata beliau:

“Kepada Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin), izinkan saya mengendalikan pemain dalam pasukan kebangsaan. Saya akan memberi mereka kemudahan latihan dan jurulatih terbaik. “Saya tidak dapat menjanjikan kejayaan segera tetapi saya dapat memberi jaminan pasukan ini akan meningkat,”

Jika FAM ingin berubah, inilah masanya untuk menunjukkan kesungguhan mereka.
Tiada siapapun yang mahukan kegagalan, begitu juga dengan FAM. Jika mahu mengelakkan daripada mengambil risiko maka tidak perlulah F:30. Peminat sememangnya memahami situasi ini tetapi adakah ahli gabungan dan exco FAM sendiri memahaminya??? FAM boleh mengatasinya dengan memastikan bahawa tiada siapa yang boleh menggagalkan matlamat ini hanya disebabkan sikap sambil lewa ahli gabungan, barisan exco mahupun kakitangan sendiri.

Sehebat mana pun matlamat dan perancangan FAM, jika gagal untuk menjangka halangan di hadapan maka gagallah barisan kabinet anda. Begitulah cara alam semesta berfungsi. Jika FAM gagal merancang masalah lebih awal, ia mungkin menghalang FAM daripada mencapai matlamat tersebut. FAM perlu bina strategi ataupun insentif bila hilang tumpuan atau menghadapi masalah.

FAM sedar bahawa semakin besar matlamat mereka, semakin ramai yang akan meragui kemampuan mereka. Bagi menutup mulut mulut dan para penentang ini sangat mudah iaitu dengan berani melakukan perubahan dan mencipta kejayaan. FAM perlu memastikan Penentang yang akan menggagalkan usaha ke arah kejayaan ini perlu dicantas dari awal bagi membolehkan usaha ini dapat direalisasikan. Peminat dan penyokong sentiasa menyokong segala usaha murni namun pastikan ianya bukan retorik.

Marilah kita bersama sama memartabatkan bola sepak negara. Kami sentiasa bersamamu FAM untuk membangun bola sepak negara. Marilah kita bersama di landasan yang matang.

FAISAL ZAKARIAH adalah  Graduan Universiti Bedfordshire, United Kingdom dengan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bola Sepak dan Sarjana Pengurusan Sukan. Berpengalaman 28 tahun dalam pengurusan sukan. Bekas pentadbir kelab Public Bank dan Felda United selain Ahli Jawatankuasa Pertandingan, Bola Sepak Pantai dan Futsal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Pernah menjadi kolumnis Berita Harian dan tetamu bual bicara Astro Arena, TV3 dan RTM. 

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.

BebasNews

1 COMMENT

  1. Tersangat baik….. Tulisan tuan. Jika kulit kulit tebal kat FAM tak reti reti lagi….. Tatau lah saya…. Oooo. Takut nanti imbuhan n gaji x dak kan… Kan… Kan… Kalau ltk jawatan ramai ramai…

Leave a Reply