DALAM kehidupan, kita memerlukan wang untuk berbelanja dan jika silap langkah kita akan menjadi hamba wang ringgit. Bila wang sudah menguasai, hubungan silaturahim pun boleh putus. Itu semua adalah lumrah kehidupan.

Justeru itulah penyanyi Stacy, 32, yang akhir-akhir ini aktif sebagai pencipta lagu dan penulis lirik dengan nama Bunga Cantik tampil dengan single baharu berjudul Duit.

Malah, buat pertama kali menerusi lagu Duit, beliau membongkar kisah sebenar dirinya. Dalam erti kata lain, lagu yang dilancarkan pada 18 Januari lalu menceritakan siapa sebenarnya Stacy atau nama penuhnya, Ummu Shaikhah Stacy.

“Lirik lagu Duit ini, 100 peratus daripada saya. Siapa kenal dan mengikuti latar belakang kehidupan dan perwatakan saya, ia memang berkaitan dengan lirik lagu ini. Lagu ini terinspirasi daripada itu dan dari situ tercetusnya idea untuk saya menulis lirik lagu ini yang bercerita mengenai kehidupan saya.

“Seni kata lagu ini menceritakan antara pesanan yang sering saya dengar sewaktu kecil lagi. Bekalan ilmu dan semangat dalam menempuh kehidupan lebih pada ajaran daripada orang tua.

“Dalam masa sama, duit ini boleh tukar mata seseorang dari tak suka kepada suka. Daripada duit juga terhasil cerita, asal saja tahu macam mana nak mendapatkan duit,” katanya tentang lagu yang turut menggunakan khidmat suami, Akim Ahmad (Hang Nadim) dan Koh sebagai komposer.

Menurut Stacy, menerusi lagu Duit ini juga peminat dan orang ramai akan mengetahui kisah dan perjalanan hidupnya.

“Walaupun sudah hampir 14 tahun bergelar penyanyi, saya berasakan lagu ini adalah pengenalan untuk saya memperkenalkan kehidupan saya dan siapa saya pada orang ramai. Sekarang saya sudah boleh buat lagu dan tulis lirik sendiri.

“Jadi, ia lebih memberi buka peluang dan ruang pada saya untuk bercerita siapa saya sebenarnya. Saya ini macam mana. Jadi lagu Duit ini memang mengenai saya. Dari segi gaya, ‘vibes’ karakter macam lagu dulu, tapi lirik mengenai saya.

“Kalau dulu lagu Aku Stacy ia lebih pada karakter yang saya dapat sampaikan, tapi dari segi diri sendiri ia berbeza. Sebab lagu itu orang lain tulis lirik. Tapi lagu Duit ini memang lahir dari hati saya. Lebih menjiwai dan sampai sebab bercerita mengenai pengalaman dan diri sendiri,” katanya terus terang.

Stacy berkata, dengan adanya pembabitan Akim dalam lagu itu sedikit sebanyak mewarnai lagi penghasilan lagu Duit.

“Lagu ini saya boleh katakan bergenre rock n roll pop. Dalam masa sama tarian ada tapi tak berat. Saya panggil ‘rock dance’. Lagu ini rancak, bukan lagu balada.

“Dengan pembabitan Akim dalam lagu ini, itu yang muzik lebih rock n roll. Kiranya gabungan muzik kami. Sentuhan Koh juga memberikan eleman yang segar. Saya tak sabar nak mendengar maklum balas peminat. Saya selesa dengan lagu ini dan ia memang bercerita mengenai diri saya. Karakter itu pun memang kena dengan karakter sebenar saya,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Duit, Stacy berkata ia sudah disiapkan sejak September tahun lalu. Dalam masa sama, kejayaan lagu ciptaannya bersama Akim iaitu Cinta nyanyian Marsha yang layak ke Anugerah Juara Lag uke-36 (AJL 36) memberikan semangat untuknya melancarkan lagu Duit ini.

“Lagu ini sudah siap dari September tahun lalu. Cuma tangguh dan keluarkan lagu orang lain dulu. Dari segi semangat keluarkan lagu ini sebab lagu Cinta nyanyian Marsha ke AJL36, ia sedikit sebanyak ada. Kita semangat dan lebih yakin keluarkan produk baharu.

“Tapi dari dulu lagi kami memang main buat dan keluarkan saja. Akim pun pernah cakap jangan terlalu fikir pendapat atau kejayaan lagu yang dibuat, baru nak semangat. Itu masalah juga. Bidang ini adalah sebahagian daripada pekerjaan kami.

“Apabila Akim memperkenalkan saya sebagai komposer dan penulis lirik, kami punya tujuan lebih pada nak berkarya. Dalam masa sama ini juga punca pendapatan dan ini adalah rezeki. Apabila ada lagu yang berjaya dan pergi jauh, ia adalah rezeki.

“Macam lagu Cinta, tak pernah jangka boleh ke AJL. Syukur alhamdulillah. Setiap kali keluarkan lagu, kami tidak pernah jangka sejauh mana ia boleh pergi. Cuma keyakinan itu tetap ada. Susah nak cakap kalau soal rezeki.

“Apabila lagu Cinta kami ke AJL, ia memberi lebih semangat. Sebab tiada siapa boleh ramal lagu mana yang bagus. Walaupun rasa bagus dan okey, tapi susah nak jangka rezeki. Saya percaya macam lagu Cinta nyanyian Marsha, masing-maisng main peranan. Bukan daripada kami saja. Daripada nyanyian ‘live’ dia juga memberi,” katanya.

Sejak dimuat naik di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment, jumlah penonton yang menonton muzik video tersebut telah mencecah 45,590. Rata-rata yang menonton memuji persembahan Stacy.
-BebasNews.

Leave a Reply