MULAI 28 Januari ini, setiap Jumaat pukul 9 malam akan bermulalah program The Masked Singer Malaysia musim kedua di saluran Astro Warna HD (107).

Pada musim pertama dulu, penonton menyaksikan peserta si Bunga Raya yang di sebalik kostum itu ialah Aina Abdul muncul sebagai juara.

Kali ini 14 peserta yang terdiri daripada selebriti terkemuka negara dari pelbagai cabang seni seperti penyanyi, pelakon, pelawak, personaliti TV, atlet sukan, pempengaruh media sosial dan ramai lagi yang mengambil bahagian.

Seperti biasa peserta The Masked Singer Malaysia akan memakai kostum dari kepala hingga ke kaki dan membuat persembahan misteri. Hanya suara sahaja yang akan dipertaruhkan mereka.

Ini kerana The Masked Singer Malaysia menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, The King of Mask Singer yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat, di mana ia berjaya mencetuskan satu fenomena yang cukup gah dan diminati ramai.

Peserta akan beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian masing-masing di hadapan sembilan juri yang juga terdiri dari figura dihormati dalam industri.

Mereka adalah Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Amy Mastura, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak. Manakala, menggalas tugas hos pula adalah Datuk AC Mizal.

Tahun ini, peserta akan tampil dengan kostum Bujang Senang, Nanas, Mat Penyu, Seladang, The Tarik Kaw, Harum Manis, Periuk Kera, Ais Krim Roti, Rambutan, Ratu Semut, Orkid, Si Merak, Burung Hantu dan Pepatung.

Kesemua kostum tersebut direka khas oleh Akma Suriati Awang, individu yang bertanggungjawab membawakan kostum-kostum pada musim pertama sebelum ini.

Beliau amat berpengalaman dalam rekaan dan perundingan fesyen. Selain berkarya sebagai penatarias industri filem, beliau juga bertanggungjawab untuk rekaan kostum bagi pelbagai produksi teater mega seperti ‘Hikayat Merong Mahawangsa’, ‘Siti Di Alam Fantasi’, ‘Mahsuri’, ‘Puteri Gunung Ledang’, dan ‘Chow Kit Road’.

Selain itu, tahun ini, pereka fesyen Hatta Dolmat turut menyerikan kostum The Masked Singer Malaysia dengan sentuhan beliau dalam pelbagaikan gaya kostum ketika persembahan.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd. Salleh berkata, sebagai saluran komedi utama pilihan rakyat Malaysia, Astro Warna sentiasa peka dengan kehendak penonton dan berusaha menyajikan kandungan terkini, sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Katanya, pihak Astro Warna menyambut baik perkembangan landskap industri hiburan yang sedia menerima gabungan muzik dan komedi sebagai salah satu cabang seni yang bergerak secara beriringan, sekali gus mentakrifkan semula genre lawak.

“Keputusan untuk mengadaptasi program berformat pertandingan nyanyian misteri, The Masked Singer Malaysia dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor terutamanya dari aspek kehendak penonton yang sentiasa menginginkan kandungan-kandungan segar, penuh variasi dan memiliki keunikannya yang tersendiri.

“Program The Masked Singer Malaysia musim pertama berjaya mencetuskan satu fenomena hebat sehingga berjaya diiktiraf sebagai pemenang bagi kategori Best TV Format Adaptation (non-scripted) di anugerah Content Asia Awards 2021.

“Setiap episod yang disiarkan pada musim pertama berjaya merekodkan kedudukan sohor dan menjadi topik utama perbualan di kalangan netizen khususnya. Masing-masing cuba membuat tekaan selebriti manakah yang berada di sebalik kostum dan topeng.

“Penglibatan nama-nama hebat yang disayangi ramai dalam industri turut membantu dalam menyumbang kepada rekod tontonan yang tinggi saban minggu. Kami begitu berbesar hari apabila Aina Abdul diumumkan sebagai juara pada musim lalu.

“Kekuatan vokal dan keletah genit serta ‘nakal’ Bunga Raya yang dibawa beliau ternyata berjaya memenangi hati audiens dan barisan juri.

“Kami ingin mengucapkan ribuan penghargaan kepada barisan juri di atas kesudian mereka untuk turut serta menjadi sebahagian dari ‘keluarga besar’ musim kedua ini.

“Saya yakin, kombinasi juri yang hadir dengan karakter individu masing-masing dan memiliki pengalaman luas dalam bidang seni khususnya ini mampu mewarnai The Masked Singer Malaysia kita ini,” kata Norzeha tentang program tersebut.

Program Tha Masked Singer Malaysia juga boleh distrim secara eksklusif di aplikasi Astro GO dan On Demand.

–BebasNews.

Leave a Reply