BADAN Siasatan Bebas Harimau Malaya Dalam Piala AFF 2020 (2021) yang bersidang empat kali di Wisma FAM dari petang hingga larut malam walaupun kadangkala sukar mendapat kehadiran penuh kerana komitmen kerja tetap, kata Dell Akbar Hyder Khan. - Foto FAM

TAN Cheng Hoe enggan hadir ditemu duga secara hadir bersemuka oleh Badan Siasatan Bebas Harimau Malaya dalam Piala AFF 2020 (2021), kata Pengerusinya, Datuk Dell Akbar Hyder Khan.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan itu katanya, hanya sudi dihubungi menerusi telefon untuk memberikan maklumat selama setengah jam dan menolak untuk hadir atas alasan sudah menghantar surat peletakan jawatan (pada pertengahan bulan lalu).

Kata Dell, keengganan Cheng Hoe berbuat begitu menyukarkan badan berkenaan mendapatkan pengesahan dan penjelasan isu-isu berbangkit berhubung pasukan antaranya terdapat pemain tertentu yang menolak panggilan latihan pusat.

“Kami hanya dapat berhubung telefon dan berbincang kira-kira setengah jam untuk mendapatkan maklumat. Jika dia hadir, mungkin banyak lagi yang diperoleh.

“Cheng Hoe kata, dia sudah hantar surat letak jawatan. Kalau boleh dia tidak hendak dilibatkan. Saya tidak boleh memaksanya, itu pilihannya dan dia ada hak. Anda boleh tanya dia kalau perlu keterangan lanjut.

“Kami tidak mahu membuat rumusan berdasarkan maklumat hanya satu pihak kerana akan nampak berat sebelah. Kami mahu berlaku adil dan telus (namun) pilihannya untuk tidak mempertahankan diri itu meletakkan kami dalam kurang menyenangkan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

BADAN Siasatan Bebas Harimau Malaya Dalam Piala AFF 2020 (2021) yang bersidang empat kali di Wisma FAM dari petang hingga larut malam walaupun kadangkala sukar mendapat kehadiran penuh kerana komitmen kerja tetap, kata Dell Akbar Hyder Khan. – Foto FAM
TAN Cheng Hoe ketika Piala AFF, Disember lalu. – Foto AFF

Sidang yang disiarkan secara langsung oleh laman sesawang rasmi FAM itu diadakan selepas mesyuarat khas pertama Jawatankuasa Eksekutif (Exco) persatuan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor.

“Soal jurulatih negara tidak dapat pemain teras, saya turut tanyakan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan ada percanggahan. Siapa yang bercakap benar, saya tidak dapat pengesahan dan penjelasan, hanya pada ‘permukaan’,” katanya.

Ketua pasukan negara, Aidil Zafuan Abd. Radzak juga sudi ditemu duga menerusi sidang video memandangkan dia berada di Johor Bahru, Johor yang mendedahkan, terdapat tiga ‘puak’ dalam pasukan kebangsaan.

“Satu kelompok pemain tempatan, satu kelompok pemain warisan (berdarah kacukan) dan satu lagi pemain naturalisasi. Wujudnya kurang harmoni pasukan di Singapura dan kurang pula usaha untuk meneutralkannya semula.

“Kalau ada tiga kumpulan berasingan dalam pasukan, secara semula jadinya tidak bagus untuk semangat sepasukan dan sebuah pasukan kebangsaan,” kata Dell, bekas Setiausaha Agung FAM dari 2000 hingga 2005 dan bekas bek kanan negara serta Selangor, 1968-1973.

Badan berkenaan katanya, merumuskan bahawa pemilihan pemain naturalisasi Harimau Malaya perlu diperhalusi semula pada masa hadapan.

“Guilherme de Paula (penyerang kelahiran Brazil) didapati tidak begitu memberikan sumbangan atau impak pada peringkat antarabangsa walaupun dia mungkin menyinar dalam liga tempatan,” katanya.

Sementara itu, Hamidin mengumumkan Exco menerima hasrat peletakan jawatan pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi yang turut memberikan alasan mahu menumpukan tugasnya selaku Timbalan Presiden FAM dan Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL) sahaja.

“Yusoff berjumpa saya dan nyatakan hasrat meletakkan jawatan. Kami terimanya dan ketika ini jawatan itu kekosongan,” kata Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dengan Yusoff juga selaku Timbalannya.

Mengenai isu pasukan negara tidak harmoni dalam Piala AFF, katanya, “apabila kalah ini semua, banyak pihaklah ambil kesempatan. Kalau menang tiada pun. Saya akan selesaikan dengan pemain.

“Dalam panggilan latihan pusat pasukan negara seterusnya, saya hendak jumpa pemain daripada hati ke hati. Saya rasa saya boleh selesaikan,” katanya.

Soal Mohamadou Sumareh, seorang lagi pemain naturalisasi yang tidak dapat ke Piala AFF, katanya, “dia berjumpa saya dan Cheng Hoe minta menyertai pasukan lewat dalam perlawanan kedua (dengan Laos) kerana perlu menandatangani satu surat keluarga di Gambia.

“Kemudian Cheng Hoe berkata kepada saya, tidak payah ambil Sumareh kerana mahu menggantikannya dengan Arif Aiman Hanapi. Saya harap kenyataan saya ini tidak dianggap sebagai cuba lepas tangan,” katanya.

Ditanya sama ada kesediaan melepaskan jawatan Presiden FAM seperti mana Presiden persatuan bola sepak Vietnam ekoran kegagalan Si Naga Emas mempertahankan kejuaraan AFF, katanya, “kalau tukar Presiden sekalipun, masalah akan berpanjangan lagi.

“Saya menghormati pandangan peminat dan warganet malah membaca semua kritikan mereka yang membina. Yang menyerang peribadi sahaja, saya abaikan. Saya ada pendapat tersendiri dan yakin ada masa lagi (untuk terus memimpin FAM).

“Saya baru tiga tahun jadi Presiden FAM (sejak 2018). Dua tahun ini kita dilanda Covid-19. Atas minat saya terhadap bola sepak, saya tahu bagaimana mahu lakukan dengan bola sepak negara dan saya tidak idamkan untuk duduk sini sampai 20 atau 30 tahun.

“Dalam ucapan pertama sebagai Presiden FAM pernah saya katakan, penyandangnya akan dihukum dengan prestasi pasukan negara. Itu sudah jadi lumrah tetaapi pada dasarnya tidak.

“(Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa – FIFA), Gianni Infantino pernah cakap, tidak semestinya Jerman gagal pertahan juara dunia, seluruh barisan pimpinannya kena letak jawatan. Saya akan pastikan Harimau Malaya akan mengaum semula,” katanya.- BebasNews

Leave a Reply