DELL Akbar Hyder Khan (dua dari kiri) menyampaikan 10 dapatan dan 10 saranan Badan Siasatan Bebas Harimau Malaya Dalam Piala AFF 2020 (2021) dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor. Di tengah ialah Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin. - Foto FAM

BADAN Siasatan Bebas Harimau Malaya Dalam Piala AFF 2020 (2021) yang ditubuhkan pada 7 Januari lalu selepas bersidang empat kali, pada 12, 14, 16 dan 20 Januari lalu memperoleh 10 dapatan dan merumuskan 10 saranan ekoran kegagalan pasukan kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe itu.

Skuad ini sepanjang kejohanan itu di Singapura, bulan lalu, hanya menewaskan Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas baki dua perlawanan Kumpulan B selepas itu kepada Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1 sekali gus gagal ke separuh akhir.

Badan ini diketuai bekas Ketua Polis Kuala Lumpur dan mantan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Dell Akbar Hyder Khan yang juga bekas bek kanan pasukan negara dan Selangor dari 1968 hingga 1973.

Ahli-ahlinya ialah bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md. Ramli; bekas Presiden Persatuan Penuliss Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Mohd. Isa; bekas instruktur kejurulatihan AFC, Ganasegaran Suberamaniam; bekas ketua pasukan kebangsaan, Shukor Adan dan Pengarah Teknikal FAM yang baharu, Scott O’Donell.

Siaran media FAM hari ini, menyenaraikannya:

10 dapatan
1. Ketiadaan pemain teras
Faktor tiadanya khidmat sejumlah besar pemain teras untuk ke Singapura mendedahkan kelemahan proses komunikasi antara ketua jurulatih dan pengurusan pasukan serta Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan.
Ketua jurulatih beranggapan tidak mendapat sokongan apabila beliau menamakan beberapa pemain teras daripada kelab-kelab tertentu.
Pengurusan pasukan pula kelihatan tidak berani untuk memberikan sokongan kepada pemilihan beliau ketika Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM menegaskan bahawa isu sebegitu tidak timbul kerana mana-mana pemain pun boleh diperolehi oleh ketua jurulatih untuk dipilih beliau.

2. Tempoh persiapan yang singkat
Tempoh persiapan singkat kerana penganjuran Piala Malaysia 2021 yang masih berlangsung sepanjang November lalu ternyata menjejaskan perancangan latihan pusat skuad Harimau Malaya. Seharusnya tempoh latihan minimum diperuntukkan dengan FAM perlu mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur liga iaitu MFL dan pasukan-pasukan supaya objektif ini dapat dicapai.

3. Pandemik Covid-19
Faktor pandemik Covid-19 tidak ditangani sebaik mungkin terutama daripada segi kekangan yang terpaksa dihadapi pemain serta faktor psikologi yang menjejaskan pemain yang terikat di dalam persekitaran gelembung sukan sewaktu kejohanan berlangsung.

4. Penetapan sasaran
Penetapan sasaran yang dilakukan secara sendirian atau ‘silo’ oleh pengurus pasukan yang menjadi satu bentuk tekanan kepada pasukan kejurulatihan dan pemain-pemain.

5. Kemampuan pemain-pemain
Pemilihan pemain-pemain yang tidak bersedia untuk menangani tuntutan permainan di peringkat lebih tinggi di pentas antarabangsa. Kemahiran teknikal, pengalaman dan aspek keadaan fizikal yang terhad mengakibatkan pemain-pemain kelihatan tenggelam ketika menentang Vietnam dan Indonesia.

6. Percaturan taktikal
Percaturan taktikal dengan memaksa pemain menyesuaikan diri dalam keadaan formasi berbeza juga tidak berkesan kerana tiadanya tempoh latihan yang mencukupi untuk membolehkan pemain-pemain memahami sebarang perubahan taktikal ketika permainan berlangsung.

7. Kekurangan pasukan sokongan (pelbagai disiplin sains)
Tiadanya pasukan sokongan khusus yang komprehensif daripada FAM bagi aspek penting yang diperlukan oleh pasukan kebangsaan seperti pasukan sokongan teknikal serta sains dan perubatan sukan yang mencukupi.

8. Keharmonian antara pemain-pemain kebangsaan
Faktor keharmonian antara pemain-pemain anak tempatan tidak diberi perhatian serius dengan pemain naturalisasi yang gagal beraksi baik mencipta tekanan tambahan kepada termasuk pemain berdarah kacukan atau warisan. Terdapat tiga kelompok pemain dalam pasukan kebangsaan dalam Piala AFF.

9. Pemilihan pemain naturalisasi
Strategi naturalisasi pemain untuk pasukan kebangsaan tidak berkesan, dengan program naturalisasi yang lebih teliti dan berstruktur wajar dilakukan untuk inisiatif sama pada masa hadapan. Guilherme de Paula (bekas warga Brazil) hanya menyinar pada liga tempatan sedangkan kepesatan dan tahap saingan antarabangsa walaupun Asia Tenggara, berbeza.

10. Kebajikan pemain-pemain
Ketiadaan persediaan awal dari segi rancangan pemakanan dan pakar nutrisi yang terancang untuk pemain-pemain ketika di Singapura. Pihak pengurusan menghadapi kesukaran apabila penganjur hanya menyediakan makanan berbungkus.

10 cadangan penambahbaikan
1. Tempoh minimum latihan pusat
Beberapa siri kem latihan berpusat skuad kebangsaan perlu dimasukkan dalam kalendar FAM setiap tahun, dengan tempoh minimum 14 hari perlu diperuntukkan bagi kem persiapan sebelum menghadapi sesuatu kejohanan penting pada peringkat antarabangsa. Minimum dua perlawanan persahabatan antarabangsa perlu dipertimbangkan sebagai persediaan pasukan kebangsaan.

2. Keperluan pasukan ‘berprestasi tinggi’
Menjadi keperluan mandatori untuk pasukan kebangsaan berpaksikan data dan statistik dengan memiliki pasukan ‘berprestasi tinggi’ yang mengandungi staf teknikal, sains dan perubatan sukan serta penganalisis prestasi secara sepenuh masa.
Ini boleh dilakukan dengan menambah baik Unit Pasukan Kebangsaan menerusi pewujudan pasukan pelbagai disiplin sepenuh masa untuk mengurus dan meningkatkan prestasi pasukan negara secara lebih berstruktur dan berasaskan bukti seperti melantik pengurus prestasi tinggi, pakar sains sukan, pasukan perubatan lengkap, pakar psikologi dan nutrisi serta elemen lain seperti peralatan dan teknologi yang menepati keperluan peringkat saingan tertinggi.
Pengurus prestasi tinggi dan penganalisis video boleh diambil secara kontrak untuk digunakan sepenuhnya bagi setiap pasukan kebangsaan di bawah naungan FAM.
Pelantikan seorang pegawai statistik juga perlu untuk memastikan ringkasan perlawanan disimpan sebagai usaha mengumpul data, latar belakang, profil dan jumlah penampilan bermain atau jaringan pemain dan beliau perlu bekerjasama rapat dengan pegawai media pasukan.

3. Pemansuhan pengurus pasukan dan pelantikan ketua delegasi
Tidak meneruskan amalan pelantikan pengurus pasukan dalam kalangan pegawai FAM sebaliknya diberikan kepada ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan. Jawatan ketua delegasi sebaliknya boleh diperkenalkan jika perlu dan terhad bagi tugas-tugas majlis rasmi sahaja.

4. Keanggotaan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan
Keanggotaan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM diisi oleh mereka yang berkelayakan daripada segi teknikal bola sepak – sama ada jurulatih ataupun bekas-bekas pemain kebangsaan yang pernah beraksi pada peringkat tertinggi.

5. Kajian teknikal untuk mencipta nilai tambah
Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM perlu melakukan kajian teknikal dan cadangan secara konsisten untuk membantu perancangan serta memberi nilai tambah kepada pasukan kebangsaan.

6. Pemilihan pemain
Pangkalan data untuk menilai prestasi pemain-pemain secara seragam perlu diwujudkan bagi membantu ketua jurulatih negara membuat pemantauan dan pemilihan pemain secara berasaskan bukti termasuk memastikan pemain-pemain yang terpilih mendapat minit permainan yang menepati keperluan asas dan langkah-langkah susulan jika terdapat kekurangan daripada aspek berkenaan.
Perlu memiliki kelompok pemain yang lebih besar dan menyeluruh meliputi semua kelab yang sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pemain-pemain sesuatu kelab.
Proses komunikasi antara pegawai, ketua jurulatih dan pemain-pemain yang terpilih perlu ditambah baik dalam menangani faktor tekanan atau gangguan luar yang boleh menjejaskan fokus pemain-pemain.

7. Keperluan MFL menyesuaikan jadual skuad kebangsaan
MFL dan FAM perlu menyelaraskan dan menyesuaikan penjadualan liga dengan menjadikan persiapan skuad kebangsaan sebagai keutamaan. Faktor-faktor seperti penajaan dan penyiaran perlu diuruskan dengan bijak supaya tidak menjejaskan perancangan skuad kebangsaan menghadapi kejohanan-kejohanan penting.

8. Pelan persediaan menangani Covid-19
FAM perlu lebih teliti, proaktif dan komprehensif dalam menangani situasi Covid-19. Perancangan alternatif seperti latihan di luar negara boleh dipertimbangkan demi kelangsungan persiapan skuad kebangsaan.

9. Keutamaan sasaran skuad kebangsaan pada 2022
FAM perlu memberi keutamaan kepada kejohanan-kejohanan yang ingin dicapai pada tahun ini kerana tidak mungkin kesemua kejohanan yang akan disertai, dapat dicapai sasarannya secara keseluruhan.

10. Menyediakan templat (pencontoh) laporan prestasi pasukan negara yang lebih bermaklumat
Satu pencontoh untuk menyiapkan laporan perlu disediakan oleh FAM untuk diikuti semua jurulatih pasukan kebangsaan kerana penilaian lengkap selepas sesuatu penyertaan pertandingan penting untuk rujukan dan panduan kepada penyediaan pasukan kebangsaan dalam tugasan seterusnya.-BebasNews

Leave a Reply