KIM PAN-GON hanya memiliki rekod sederhana dengan pasukan kebangsaan Hong Kong tetapi masih menjadi pilihan FAM yang meniru pendekatan Vietnam dan Indonesia untuk mengendalikan Harimau Malaya dengan kontrak dua tahun termasuk dua tahun lanjutan bergantung prestasi pasukan. - Foto FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan Kim Pan-gon dari Korea Selatan sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Harimau Malaya ekoran peletakan jawatannya oleh Tan Cheng Hoe pada pertengahan bulan lalu.

Siaran media FAM melaporkan, Pan-gon yang bakal genap 53 tahun pada 1 Mei 2022 ketika ini merupakan Pengarah Pasukan Kebangsaan dengan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) sejak 2018.

“Beliau sebelum itu merupakan ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong dari 2009-2010 dan 2012-2017.

“Pemilihan Pan Gon ini dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap calon-calon daripada pelbagai negara termasuk Jepun, benua Eropah dan Amerika Latin serta anak tempatan,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam siaran itu.

FAM katanya berasakan, Pan Gon merupakan calon terbaik untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya berdasarkan pengalaman luasnya sebagai jurulatih peringkat kelab dan pasukan kebangsaan selain berada dalam sistem pasukan kebangsaan Korea Selatan dalam tempoh empat tahun terakhir ini.

“Selepas beraksi sebagai pemain kelab Ulsan Hyundai dan Jeonbuk Hyundai Motors pada era 1990-an, Pan Gon berhijrah ke Hong Kong pada 2000 dan sempat bergelar pemain merangkap jurulatih Hong Kong Rangers FC pada 2003-2004.

“Beliau kemudian kembali ke tanah airnya selepas memperoleh Lesen Pro AFC untuk memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih Busan IPark FC (2005-2008).

“Selepas itu, berkhidmat selaku ketua jurulatih South China FC (2008-2010), ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong (2009-2010), penolong jurulatih Gyeongnam FC (2011) dan ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong kali kedua, (2012-2017),” katanya.

Dengan pasukan Hong Kong, Pan-gon berjaya membimbing mereka mencipta sejarah meraih pingat emas sulung bola sepak dalam Sukan Asia Timur 2009 seterusnya menjuarai Kelayakan Kejohanan Bola Sepak Asia Timur 2010 untuk muncul empat pasukan dalam pusingan akhirnya.

“Sepanjang saingan Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2018 pada 2015 hingga 2016, Hong Kong kendaliannya meraih empat kemenangan daripada lapan perlawanan selain seri dengan China. Beliau berwibawa untuk membawa pasukan menandingi lawan lebih kuat.

“Hong Kong kendaliannya juga bertemu Harimau Malaya pada 2017 yang ketika itu dibimbing Nelo Vingada dari Portugal pada saingan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka yang berkesudahan seri 1-1 dan Malaysia tewas 2-0 di tempat lawan,” katanya.

Biarpun tidak memegang jawatan sebagai ketua jurulatih mana-mana pasukan kebangsaan atau kelab sepanjang empat tahun terakhir sejak 2018, Pan-gon sebagai Pengarah Pasukan Kebangsaan KFA turut bertanggungjawab dalam pelantikan ketua jurulatih negaranya, Paulo Bento dari Portugal.

Ketika ini, Wira Taeguk (gelaran pasukan Korea Selatan) masih dalam kedudukan terbaik dalam pusingan ketiga kelayakan untuk mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar dengan mencatat rekod tanpa kalah dan berbaki empat perlawanan.

Pan-gon turut fasih berbahasa Inggeris yang memudahkannya berkomunikasi dengan barisan kejurulatihan, pegawai, pemain dan media selain memiliki pengetahuan serta cukup memahami budaya bola sepak di Asia.

Dia dijangka tiba di Malaysia pada awal bulan depan bersama-sama empat pembantunya – seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.

Beliau dan barisan kejurulatihannya selepas itu akan mula memantau pemain-pemain sebaik saingan Liga Malaysia 2022 bermula bagi panggilan pertama kem latihan pusat pada Mac ini sebagai persiapan awal menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada 8, 11 dan 14 Jun ini.- BebasNews

Leave a Reply