Friday, May 20, 2022
Home Sukan/Sport “Saya akan pastikan Harimau Malaya kembali mengaum!” – Presiden FAM

“Saya akan pastikan Harimau Malaya kembali mengaum!” – Presiden FAM

KELANA JAYA – “Saya nak pastikan pasukan Harimau Malaya akan kembali mengaum!”
Demikian laungan keyakinan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditanya desakan pelbagai pihak yang mahu beliau meletak jawatan.
Secara peribadi, Hamidin sedia maklum dengan pandangan tersebut yang disuarakan warganet dan penyokong bola sepak tanah air.
Dalam masa sama, beliau menghormati setiap pandangan penyokong.
“Mereka ada pendapat mereka, saya pun ada pendapat saya. Saya hormat pendapat mereka dan untuk pengetahuan semua, saya baca semua kritikan membina.
“Kritikan tidak membina, saya tak nak… yang serangan peribadi saya biarkan. Ini dah jadi lumrah sekarang. Mana yang baik, saya ambil. Mereka ada pendapat mereka, saya ada pendapat saya.
“Saya baru dapat mandat tahun ini. Saya ada banyak perkara lagi nak buat. Saya nak pastikan pasukan Harimau Malaya akan kembali mengaum seperti di Piala Asia pada Jun ini dan Piala AFF,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas Eksekutif FAM Bagi Penggal 2021-2025 di sini pada Jumaat.
Kegagalan Harimau Malaya dalam Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini mencetus kemarahan penyokong sehingga mereka mendesak supaya rombakan dilakukan terhadap FAM.
Antara desakan yang kuat disuarakan adalah mahu Hamidin meletakkan jawatan selepas Le Khanh Hai mengesahkan meletak jawatan sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF).
Malaysia juga dikejutkan dengan berita peletakan jawatan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe awal bulan ini.

Leave a Reply