PREMIS kediaman menyimpan produk itu yang diserbu JKNS di Petaling Jaya, Selangor, Isnin lalu.

SHAH ALAM – Kegiatan sindiket penjualan produk perubatan tradisional tidak berdaftar menerusi platform e-dagang tumpas apabila digempur Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), baru-baru ini.

Serbuan telah dijalankan Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi (CPF) itu melibatkan beberapa buah premis termasuk sebuah kediaman di sekitar Petaling Jaya.

Menurut Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman, operasi itu dilakukan hasil maklumat awam mengenai kegiatan penjualan produk yang disyaki tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“JKNS berjaya merampas sebanyak 135 produk yang dianggarkan bernilai RM53,000 daripada sindiket berkenaan.

“Sindiket itu menjalankan penjualan produk-produk tidak berdaftar secara atas talian melalui pletform e-dagang yang terkenal. Penjualan seumpama itu dikhuatiri membahayakan kesihatan sekiranya tidak dikawal dan mendatangkan kesan sampingan yang memudaratkan orang ramai,” kata beliau dalam satu kenyataannya dalam satu kenyataan hari ini.

Sha’ari berkata, siasatan lanjut dijalankan pihaknya mengikut Akta Jualan Dadah 1952.

“Jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada membeli produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara atas talian.

“Mereka juga perlu memastikan produk yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Semakan kesahihan nombor pendaftaran produk atau pertanyaan tentang kosmetik boleh dibuat dengan melayari www.npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400,” katanya.

Jelasnya lagi, sebarang aduan berkaitan produk boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi menerusi www.pharmacy.gov.my atau mana-mana CPF berdekatan. – BebasNews

Leave a Reply