PENYERTAAN pemain baharu dalam industri penerbangan negara boleh mewujudkan satu persekitaran persaingan yang sihat dalam industri aviasi tempatan.

Perkara ini dinyatakan oleh pakar-pakar pengangkutan lain mereka menyambut baik kebenaran yang diberikan kepada dua syarikat penerbangan tempatan baharu untuk beroperasi di Malaysia.

Selain itu, FMT melaporkan, mereka juga berpendapat perkembangan baharu ini akan melancarkan lagi perjalanan dan menurunkan kadar tambang.

Baru-baru ini, pihak kawal selia penerbangan memberi lesen perkhidmatan udara bersyarat kepada SKS Airways Sdn. Bhd, anak syarikat SKS Group dan MYAirline yang dikendalikan oleh Z9 Elite Sdn. Bhd.

Perunding pengangkutan Goh Bok Yen berkata, syarikat penerbangan baharu akan menggalakkan persaingan secara sihat dan menguji keupayaan Malaysia Airlines (MAS) untuk bertahan dalam pasaran terbuka.

“Kehadiran syarikat penerbangan baharu adalah tepat pada masanya kerana kita sedang pulih daripada pandemik.

“Rantau ini sedang dibuka. Ini adalah masa untuk memanfaatkan ledakan yang akan berlaku dalam perjalanan selepas pandemik,” katanya.

Beliau menggesa supaya sifat nasionalistik diketepikan serta menolak dorongan untuk melindungi MAS daripada persaingan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Izham Ismail pula berkata, kemasukan syarikat penerbangan baharu ke ruang udara Malaysia akan mengancam MAS. MAG adalah syarikat induk Malaysia Airlines.

Dalam reaksinya Bok Yen berkata, MAS tidak patut berada dalam perniagaan jika ia tidak mampu berdepan dengan persaingan.

Beliau mencadangkan supaya MAS memperluaskan perniagaannya kepada bilik hotel, kereta sewa dan pakej pelancongan kerana ia boleh memanfaatkan potensinya di Sarawak.

Sementara Ajit Johl dari Persatuan Pengguna-pengguna Pengangkutan Awam pula berkata, MAG nampaknya tidak dapat memahami peranan syarikat penerbangan dan menangani sebarang bentuk persaingan.

“Jika ia bimbang mengenai persaingan, maka penyelesaian mudahnya adalah pergi sahaja,” katanya. – BebasNews

Leave a Reply