DIGANTUNG selama dua tahun daripada menyertai sebarang kejohanan badminton tempatan dan antarabangsa, itulah akibat daripada tindakan pemain badminton nombor satu negara, Lee Jii Zia keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

BAM, sebagai respons kepada tindakan Zii Jia itu pada Jumaat memutuskan untuk tidak mendaftarkannya dalam mana-mana kejohanan untuk tempoh dua tahun.

Perkara berkenaan diumumkan Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dalam sidang akhbar di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

“Selepas mempertimbangkan semua faktor, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 18 Januari,” katanya.

Untuk rekod, semua pemain perlu mendapatkan kelulusan persatuan bagi menyertai kejohanan di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, lagenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei ketika dihubungi untuk mengulas perkara tersebut menasihati Zii Jia agar bersedia untuk menghadapi tekanan hebay jika mahu jadi pemain nombor satu negara dan dunia.

Chong Wei mendedahkan Zii Jia bertemu dengannya terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan serta nasihat sebelum bertindak menghantar surat peletakan jawatan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak sebagai pemain bebas.

Pemenang pingat perak pada tiga temasya Sukan Olimpik itu berkata, Zii Jia yang menjuarai All England 2021 mengakui dirinya tidak boleh berdepan tekanan yang hebat, namun tidak menyatakan secara jelas bentuk tekanan diterima.

“Saya tak tahu macam mana tahap tekanan di BAM ketika ini sebab saya tidak bersama BAM lagi, untuk saya dulu memang satu tekanan tetapi lain karakter dan lain pemain, ada yang boleh menangani tekanan itu.

“Bagi saya tekanan saya hadapi memang cukup kuat, namun saya dapat jadikan ia sebagai satu motivasi. Saya merasainya (tekanan) tetapi saya tukar ia menjadi dorongan untuk saya berjuang demi negara. Lain orang lain caranya,” kata Chong Wei.

Sebagai bekas pemain dianggap sebagai abang oleh Zii Jia, Chong Wei berkata beliau tidak menyarankan supaya Zii Jia meninggalkan BAM mahupun terus kekal bersama badan induk itu berikutan tekanan dihadapi, kerana enggan mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat.

Bagaimanapun menurutnya beliau menasihatkan supaya pemain ranking ketujuh dunia berusia 23 tahun itu berbincang bersama BAM bagi mencapai titik pertemuan yang memenangkan kedua-dua pihak. — BebasNews

Leave a Reply