Ashira dan suaminya.

Sepanjang perkahwinannya, pelbagai dugaan dan kontroversi yang dihadapi penyanyi Ashira. Namun ini semua tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjadi isteri mitahli kepada suaminya, Bad Indigo atau nama sebenarnya, Badrul Izhan Yeop Abdullah, 47.

“Walaupun kehidupan saya tidak seindah orang lain…dapat bercuti atau keluar membeli- belah. Namun saya bersyukur sesangat kerana masih ada rumah untuk berlindung. Makanan, Alhamdulillah tidak pernah putus.

“Hidup kami juga, tidaklah sesusah mana pun. Saya rasa mungkin ada ramai lagi orang dekat luar sana yang lagi susah daripada saya. Apa-apa pun yang terjadi dalam hidup kami sekeluarga, saya kena reda kerana mungkin ada hikmah disebalik semua yang terjadi. Ialah kehidupan manusia ini semua dah tertulis dan saya tidak boleh merungut…kena bersyukur dengan hidup saya sekarang ini,” kata Ashira atau nama sebenarnya, Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 38.

Ashira dan Bad Indigo bercinta ketika menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7). Kedua-duanya mengambil keputusan untuk berkahwin pada 11 Mac 2021.


Sebelum ini, Ashira pernah mendirikan rumah tangga pada 2006 namun bercerai pada 2015. Hasil perkahwinan tersebut, Ashira dikurniakan seorang cahaya mata, Megat Shazril Haziq Hadi, 16. Bad pula pernah bernikah pada 2007 dan bercerai tiga tahun kemudian.

Hasil perkahwinannya, Bad dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Rayyan, 13 dan Rania, 12.

Ashira yang popular dengan lagu Ombak Resah menambah, kini kehidupan mereka kembali stabil sejak Bad kembali bekerja awal tahun ini.

“Syukur alhamdulillah. Sejak Bad mula bekerja dengan syarikat kereta kawannya di Ampang dapatlah kami `survive ‘ sekarang ini. Kadang-kadang Bad pergi pejabat dan kadang-kadang bekerja dari rumah saja bila keadaan kakinya tidak mengizinkan. Keadaan kakinya membuatkan Bad tidak boleh banyak bergerak.

“Saya pula membantu dengan buat review produk makanan atau apa saja yang diperlukan pelanggan di Ig dan sesiapa yang berminat boleh DM saya. Sekurang-kurangnya kerja ini boleh dilakukan di rumah dan dapatlah saya membantu suami mencari pendapatan tambahan. Ialah suami isteri kenalah saling bantu- membantu.

“Alhamdulillah rezeki menyanyi itu masih ada…tidak pernah putus. Mungkin orang ingat saya dah berhenti menyanyi sedangkan saya masih menyanyi dan sering mendapat jemputan mengadakan persembahan. Tawaran itu, tidaklah banyak…tidak sedikit… tapi Alhamdulillah masih ada lagi.”

Bercerita mengenai kehidupannya sekarang ini, Ashira menambah,“Kehidupan saya macam biasa saja. Tak ada show, saya lebih suka duduk dirumah. Rutin harian saya macam isteri-isteri yang lain, memasak, mengemas rumah dan menjaga suami. Buatkan dia kopi..ingatkan dia makan ubat. Tolong ambikkan barang yang dia perlukan sebab suami saya tidak boleh terlalu banyak bergerak.

“Tak susah jaga suami saya ni. Bukan kena jaga dia macam budak kecil atau bagai menatang minyak yang penuh. Suami saya ini jenis yang tidak suka bergantung atau harapkan bantuan orang lain termasuk saya…dia suka buat semuanya sendiri.

“Dia selalu cakap, kalau terlalu mengharap orang tolong dia, andai kata saya keluar bekerja atau tiada siapa yang menolong dia nanti benda itu akan menyusahkan dia. Itu sebabnya dia lebih suka berdikari. Sebagai isteri, saya hanya perhatikan dari jauh saja…takut-takut kalau dia terjatuh.”

Menurut Ashira, dia kasihan melihat suaminya yang agak penat hendak berjalan menggunakan sebelah kaki.

“Sebagai isteri saya hanya mampu mendoakan agar tidak ada apa-apa lagi jangkitan pada kaki suami saya yang boleh membahayakan kesihatannya. Saya juga berharap agar suami saya cepat sembuh

“Nak ikut bacaan kencing manisnya dah normal dan tunggu luka dikaki kirinya untuk sembuh bagi membolehkannya berjalan semula. Tapi tak sangka ada luka baru dekat kaki itu. Dari macam garis dah membesar dan menjadi lubang pulak.

“Luka ini berpunca daripada kakinya yang sering dibalut tebal. Kini, suami saya sudah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Mereka terpaksa mengorek sedikit bahagian luka untuk membolehkan isi barunya tumbuh semula serta membiarkan darah mengalir. Harapnya tidak akan berlaku jangkitan lagi.”

Sebelum itu, dua minggu selepas diijabkabul, satu jari kaki kiri Bad terpaksa dipotong. Bad kemudian dimasukkan sekali lagi ke hospital pada 9 Mei bagi menjalani pembedahan memotong tiga jari kaki sebelah kiri akibat diabetes kronik.

Pada September lalu, Bad sekali lagi diuji apabila jari terakhir kakinya dan setengah tapak kaki terpaksa dipotong. Sementara sebahagian kulit tapak kaki ditolak ke atas dan terpaksa dijahit.

Pembedahan itu membuatkan pergerakan Bad terbatas hingga terpaksa berjalan dengan bantuan kerusi roda akibat tidak boleh memijak lantai.- BebasNews

Leave a Reply